fbpx

DJ The Ellen DeGeneres Show mati bunuh diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAYATA Stephen Boss ditemui di sebuah hotel di pinggir Los Angeles dengan kesan tembakan yang dipercayai dilepaskannya sendiri.

SEORANG disc jockey atau DJ program The Ellen DeGeneres Show, Stephen Boss ditemui mati dipercayai membunuh diri di sebuah hotel di Encino, Los Angeles pada pagi Selasa.

Berita menyedihkan tersebut dikongsi isterinya yang juga penari, Allison Holker selepas merasakan perkara mencurigakan berlaku kepada Boss, 40, sebaik dia meninggalkan kediaman mereka secara tiba-tiba.

Ibu kepada tiga anak itu membuat laporan polis yang kemudian memaklumkan penemuan mayat suaminya yang didakwa sudah tidak bernyawa dengan kesan tembakan.

“Dengan hati paling berat saya maklumkan suami, Stephen telah meninggalkan kami. Dia seorang yang sangat menghargai keluarga, teman dan insan sekeliling.

“Dia adalah tulang belakang buat keluarga kami, suami serta ayah terbaik dan menjadi sumber inspirasi buat semua yang mengenalinya,” luah wanita berusia 34 tahun itu dalam media sosial miliknya.

Holker yang meminta orang ramai memberikan ruang peribadi buatnya dan anak-anak turut mendedikasikan sebuah rangkuman video tarian mereka sekeluarga.

“Stephen, kami mencintaimu, merindukanmu dan aku akan selalu menyimpan tarian terakhir untukmu,” tulisnya sehingga menyentuh hati ramai.

Boss terkenal sebagai DJ di Ellen Degeneres bermula tahun 2014 hingga 2022 selain dipertanggungjawabkan sebagai pengacara serta penerbit eksekutif program bual bicara tersebut.

Sebelum ini, DJ selebriti tersebut terlebih dahulu meraih perhatian sebaik bergelar naib juara So You Think You Can Dance 2008.

Dia kemudian diundang sebagai juri program realiti berkenaan bersama JoJo Siwa dan Leah Remini.

Menyingkap latar belakang sebagai koreografer profesional, Boss pernah tampil dalam filem tarian popular termasuk Hairspray, Step Up: Revolution dan Magic Mike XXL.

Bersama Holker, gandingan pasangan terbabit meraih kepercayaan mengendalikan acara siri Disney+ Disney’s Fairy Tale Weddings selama dua tahun bermula pada 2018.

Sementara itu, Ellen DeGeneres turut meluahkan perasaan sedih dengan kehilangan rakan sekerja yang sudah dianggap sebagai keluarganya sendiri selain turut berkongsi gambar mereka berpelukan dalam Twitter. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI