KLUANG – Tindakan berani seorang abang menyelamatkan adiknya daripada rentung berbaloi apabila dia dianugerahkan Pingat Hang Tuah sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia baru-baru ini.
Mohamad Danish Haikal Mohd. Firdaus, 8, dianugerahkan pingat tersebut di atas tindakannya mendukung adiknya, Nur Dhia Delisha, 6, yang sedang tidur di dalam bilik ketika rumah mereka di Kampung Melayu dekat sini terbakar pada pukul 10.55 pagi 29 Jun lalu.
Mengimbau kejadian itu, Mohamad Danish Haikal berkata, kebakaran itu disedari adik keduanya, Mohamad Darish Rizqie, 7, yang memberitahu api membakar kerusi di ruang tamu.
“Saya kemudian berlari untuk mengambil sebaldi air untuk memadamkan api tetapi ia semakin marak. Tanpa berlengah, saya terus mendukung Delisha dan mengarahkan Rizqie memegang baju bagi mempimpinnya keluar melalui pintu belakang sambil meminta tolong.
“Jiran kemudian bertindak memecahkan pintu rumah bagi membolehkan kami keluar. Ketika itu bapa, Mohd. Firdaus Mohd. Nasir, 33, dan ibu, Nurhidayah Shamsuddin, 31, tiada kerana keluar bekerja sebagai pemandu jentolak dan kerani,” katanya ketika ditemui di sini.
Pingat itu dianugerahkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan disampaikan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur pada 8 Disember lalu.
Sementara itu, Nurhidayah berkata, kebakaran itu mengakibatkan rumah sewa mereka itu hangus 90 peratus.
“Saya kagum dan berterima kasih dengan keberanian anak sulungnya itu kerana bertindak pantas menyelamatkan adik-adiknya.
“Sepatutnya dia ke sekolah pada hari kejadian, namun kerana cermin matanya hilang menyebabkannya tinggal bersama adik-adiknya yang belajar di tadika berhampiran rumah,” katanya.
Menurut Nurhidayah, selepas kejadian itu, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja untuk menjaga anak-anaknya kerana trauma bimbang berlaku kejadian itu berulang.
Ekoran kejadian itu, lima beranak itu mengambil keputusan untuk berpindah ke Taman Sri Impian yang terletak lima kilometer dari rumah lama kerana bimbang untuk menyewa rumah jenis separuh papan lagi.