KESEMUA ahli BTS iaitu Jungkook, RM, Jimin, V, Suga dan J-Hope menghantar ‘abang’ mereka, Jin ke pusat latihan ketenteraan pada Selasa lalu.
Sekitar pukul 2 petang, enam buah caravan berwarna hitam kelihatan memasuki perkarangan Republic of Korea (ROK) Army Training Center yang terletak di daerah Yeoncheon, Gyeonggi.
Menurut laporan, keenam-enam ahli BTS menaiki caravan tersebut berasingan bagi menghantar Jin yang merupakan anggota tertua kumpulan mereka.
Perkarangan pusat latihan tersebut turut dihadiri peminat yang hadir hanya dalam lingkungan sekitar 50 orang memandangkan BTS sebelum ini sudah mengingatkan mereka agar tidak datang ke situ.
Bagaimanapun, terdapat sebilangan wartawan yang dilihat berkeliaran di sekitar kawasan pintu masuk bagi membuat liputan pendaftaran Jin.
Jin yang berumur 30 tahun akan melalui latihan asas selama lima minggu di pusat latihan tersebut sebelum ditugaskan sebagai tentera dan dia akan mengakhiri perkhidmatan ketenteraan wajib pada 12 Jun 2024.