PUTRAJAYA – Seorang anggota polis maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh penghadang jalan lalu digilis kenderaan lain dalam kejadian di Kilometer 37.7 Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Amirul Faiz Mohammad Ali dan berkhidmat sebagai Prowler Istana Negara, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
“Siasatan awal mendapati, mangsa datang dari arah Melaka dan dalam perjalanan menghala ke Jalan Duta sebelum motosikal jenis SYM dinaikinya hilang kawalan dan terlanggar besi penghadang jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat perlangaran itu, mangsa telah terjatuh di atas jalan di lorong paling kanan dan disyaki telah digilis oleh kenderaan lain yang tidak sempat mengelak.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulan dari Klinik Kesihatan Dengkil.
“Mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Putrajaya untuk tujuan bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE