TANJUNG MALIM – Seramai 66 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menerima watikah pentauliahan Kor Sukarelawan Siswa Polis (Suksis) selepas berjaya menamatkan latihan selama tiga tahun dengan cemerlang.
Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Suksis itu disampaikan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di sini.
Beliau ketika berucap pada majlis itu berkata, keamanan serta keselamatan yang dinikmati hari ini adalah hasil pengorbanan serta kerjasama erat antara masyarakat setempat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya percaya anggota Kor Siswa Suksis begitu bersemangat untuk berbakti kepada masyarakat dengan berintegriti.
“Percayalah, kerja polis mempunyai masa depan dan selaras dengan tuntutan agama untuk memastikan masyarat meneruskan kehidupan dengan aman damai,” katanya di sini hari ini.
Pada masa sama, Mohd. Yusri berkata, ilham penubuhan Suksis adalah cetusan idea bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 1999.
Jelasnya, ia bertujuan membentuk badan beruniform ala polis di semua institusi pengajian tinggi awam di Malaysia.
“Ia agar dapat melahirkan graduan universiti yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi memiliki pengetahuan undang-undang, berdisiplin, berketerampilan, dilengkapi nilai-nilai murni serta harga diri yang tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, kepolisan adalah amanah mulia dan semoga semangat keperwiraan yang diterapkan kepada pelatih Kor Suksis juga mewarisi darah Ibu Kandung Suluh Budiman. – KOSMO! ONLINE