MELAKA – Tarif air di negeri ini dicadang disemak semula bagi menambah baik sistem pengagihan air serta mengurangkan masalah air tidak terhasil (NRW).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, ini kerana tarif air tidak disemak sejak lebih 13 tahun lalu dan kekal 65 sen per liter kubik berbanding kos operasi menghasilkan air bersih iaitu sebanyak RM1.45 per liter kubik.
Menurut beliau, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) terpaksa beroperasi dalam kerugian sekali gus menyukarkan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan sistem perpaipan.
“Saya minta iltizam semua wakil rakyat untuk kita melakukan reformasi tarif air kerana tidak pernah dinaikkan sejak lebih 13 tahun lalu, ini tidak termasuk kehilangan NRW lebih kurang 30 peratus akibat sistem perpaipan yang uzur dan perlu ditukar baharu.
“Sebenarnya SAMB bergerak dalam kerugian, walaupun kos itu tidak perlu dibayar sekarang tetapi syarikat air terpaksa berhutang yang mana bebanan bayaran itu akan dipikul generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Seah Shoo Chin (PH-Kesidang) berhubung punca banyak kawasan perumahan mengalami masalah bekalan air.
Jelasnya lagi, sehubungan itu pada hematnya, kerajaan negeri perlu melakukan sesuatu untuk menaikkan semula tarif air sesuai keadaan semasa bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dapat dilaksanakan mengikut masa sepatutnya.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) yang mahu sistem perpaipan diatasi dahulu berbanding menaikkan tarif, Zaidi menjelaskan, Melaka pernah diiktiraf sebagai negeri dengan NRW terendah di peringkat nasional pada 2016.
Katanya, NRW ketika itu adalah 18 peratus dicapai menerusi penggantian sistem perpaipan membabitkan kos RM65 juta.
“Untuk mengekalkan perkara ini kita perlukan perbelanjaan setimpal atau setara. Ini kerana sistem perpaipan kita sudah lama iaitu lebih 30 tahun,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE