LONDON – Pasukan Williams Racing kini mencari ketua pasukan baharu selepas Jost Capito membuat keputusan meletak jawatan selaku prinsipal pasukan berkuat kuasa semalam.
Capito yang juga memegang jawatan tersebut pada Disember 2020 akan meninggalkan pasukan tersebut bersama pengarah teknikal, Francois-Xavier (FX) Demaison.
Williams yang dimiliki oleh firma pelaburan Amerika Syarikat (AS), Dorilton Capital menegaskan, pihaknya akan mengumumkan ketua pasukan dan pengarah teknikalnya yang baharu dalam masa terdekat.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Capito atas kerja kerasnya bersama pasukan Williams Racing selama dua tahun ini.
“Kami bersyukur bahawa Capito menunda perancangannya untuk bersara bagi menghadapi perlumbaan sebelum ini.
“Kami juga ingin berterima kasih kepada FX (Demaison) atas sumbangannya bersama pasukan Williams,” kata Matthew Savage, pemilik Dorilton Capital.
Sementara itu, Capito mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan Williams Racing pada perlumbaan Formula Satu musim depan.
“Ia adalah satu kebanggaan dapat memimpin pasukan Williams Racing bagi dua musim yang lalu dan saya berjaya melakukan yang terbaik bersama pasukan yang hebat ini.
“Saya tidak sabar-sabar untuk menyaksikan Williams meneruskan perjalanannya menuju kejayaan dalam saingan F1 musim depan,” kata Capito.
Capito adalah ketua pasukan kedua yang meletakkan jawatan selepas Mattia Binotto meninggalkan Ferrari bulan lalu. – AGENSI