WASHINGTON – Seorang wanita di negeri Florida, Amerika Syarikat (AS) ditahan polis selepas penemuan seorang kanak-kanak dan beberapa haiwan yang hidup dalam persekitaran yang kotor di rumahnya, lapor akhbar New York Post semalam.
Polis di Daerah Citrus, Florida menggeledah rumah Shannon Marie Morgan, 38, pada Rabu minggu lalu, lapor saluran televisyen WTVT-TV.
Apabila pegawai dari Pejabat Syerif Daerah Citrus tiba di lokasi kejadian, mereka menghidu bau gas ammonia di dalam rumah tersebut.
Mereka menemui beberapa sangkar dan akuarium kaca yang menempatkan beberapa ekor ular dan tikus, termasuk tikus dan kucing yang berkeliaran di dalam rumah.
Menurut pihak berkuasa, haiwan-haiwan itu hilang sumber keperluan asas, manakala najis sertau air kencing dibiarkan merata-rata di dalam rumah.
Dalam pada itu, pihak berkuasa turut menemui sampah, pinggan mangkuk dan makanan busuk yang terbiar di seluruh rumah yang mengundang pembiakan pepijat.
Pihak berkuasa berkata, lebih 50 ekor tikus ditemui dalam sangkar dengan kira-kira 300 ekor tikus berkeliaran dengan bebas.
Bukan itu sahaja, tujuh ekor kucing, seekor anjing dan seekor ferret telah dikeluarkan dari rumah itu.
“Penderaan dalam apa jua bentuk adalah tidak boleh diterima. Keadaan kediaman ini adalah sangat teruk,” kata kakitangan Pejabat Syerif. – Agensi