fbpx

[VIDEO] Banjir: 130 buah rumah dinaiki air di Kota Tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba menyelamatkan dua mangsa yang terperangkap dalam kejadian banjir di Sungai Lebam berhampiran Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor hari ini.

KOTA TINGGI – Hujan lebat sejak malam semalam menyebabkan penduduk di Jalan Balau, Taman Desaru Utama, Bandar Penawar di sini tidak lena tidur semalaman.

Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Jalan Balau, Md. Johari Dol berkata, kebimbangan penduduk ternyata menjadi kenyataan apabila kira-kira 130 rumah penduduk dinaiki air selepas hujan lebat turun sekitar pukul 12 malam hingga pagi hari ini.

Katanya, penduduk mula mengemaskan kediaman dan mengalihkan kenderaan masing-masing selepas air mula memasuki rumah kira-kira pukul 5 pagi.

“Hujan lebat tidak berhenti sejak pukul 12 malam hingga pukul 7 pagi tadi. Air mula naik dari kawasan belakang iaitu dari Hulu Sungai Lebam yang melimpah ke kawasan rumah penduduk.

“Ini kali kedua banjir berlaku di kawasan taman ini dimana yang pertama pada Januari 2021. Dipercayai limpahan air dari hulu sungai itu berlaku kerana kalvat dibina tidak dapat menampung air yang melaluinya kerana kurang besar.

“Akibat laluan air yang tidak lancar menyebabkan air melimpah ke rumah penduduk dari belakang. Penduduk yang terkesan adalah di Jalan Balau 2,3,8,9,10 dan 11,” katanya di sini.

Katanya, saluran yang sama turut menerima air dari Taman Sri Penawar juga secara tidak langsung mengakibatkan limpahan air cepat berlaku ke kawasan rumah penduduk di taman itu walaupun tanpa adanya fenomena air pasang besar.

Menurutnya, taman baharu berkenaan sepatutnya mempunyai saliran baru sendiri agar tidak mengganggu saliran sedia ada daripada menerima jumlah air yang banyak.

“Kita harapkan agar sungai di bahagian belakang ini didalamkan lagi, kalvat dibesarkan agar air yang melaluinya dapat berjalan lancar dan tidak melimpah sekali gus mengakibatkan banjir ke kawasan rumah penduduk.

“Setakat pagi ini air sudah surut sedikit namun keadaan hujan yang kembali lebat berterusan akan menyebabkan banjir terus berlaku akibat limpahan air dari Hulu Sungai Lebam itu.

“Kesemua penduduk terlibat juga telah diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Muafakat Taman Desaru Utama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI