JITRA – Tangisan seorang bapa mengiringi penemuan anak lelakinya di dalam kereta yang terjunam ke dalam Sungai Korok, di sini hari ini.
Suhaimi Hassan, 37, yang ditenangkan orang ramai dilihat mengusap air mata sebelum menggagahkan diri menaiki kenderaan polis bagi mengiringi jenazah anaknya, Muhammad Khairul Muhaimin Suhaimi, 12.
Mayat Allahyarham Muhammad Khairul Muhaimin dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, dekat sini.
Terdahulu, mayat kanak-kanak terbabit ditemui di dalam kenderaan tersebut kira-kira pukul 4.10 petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2.23 petang tadi.
“Difahamkan ketika kejadian, kereta Proton Saga itu dinaiki tiga beranak yang mana Suhaimi dan isterinya, Nurul Aqmar Zainol, 35, sempat menyelamatkan diri.
“Namun Muhammad Khairul terperangkap di dalam kenderaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Kata beliau, kereta tersebut tidak hanyut terlalu jauh disebabkan arus sungai pada kedalaman kira-kira lima meter itu tenang.
“Sebaik lokasi dikenal pasti, kereta itu terus ditarik ke darat dengan menggunakan trak penunda.
“Mayat kanak-kanak itu ditemui di dalam kenderaan tersebut kira-kira pukul 4.10,” ujarnya.
Difahamkan ibu mangsa yang turut terlibat dalam kejadian itu sedang mengandung tujuh bulan dan terus dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Kesemua mereka yang berasal dari Pokok Sena, dekat sini dikatakan dalam perjalanan dari Tanjung Kapur menuju ke Pekan Jitra.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kenderaan tersebut dipercayai terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam sungai.
“Kemalangan tersebut berlaku ketika mereka dalam perjalanan menghala ke Pekan Jitra dan tidak melibatkan kenderaan lain,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE