LAMA mendiamkan diri dari dunia seni hiburan tanah air, penyanyi bersuara lunak dan lantang, Sufi Rashid ternyata belum meletakkan titik noktah terhadap kariernya.
Terbaharu, penyanyi dengan nama lengkap Muhammad Sufi Rashid itu tampil mewarnai semula industri muzik tempatan dengan menghadiahkan sebuah single baharu berjudul Jangan Lepas Tanganku.
Buah tangan yang disifatkan unik oleh penyanyi kelahiran Singapura itu dicipta oleh komposer berpengalaman, Ammar Habir bersama kugiran Faris Fuad dan Jad Lobo.
Lagu sentimental Jangan Lepas Tanganku terhasil menerusi kolaborasi antara Alternate Music Sdn. Bhd. bersama Global Keynote Sdn. Bhd.
Lebih membanggakan apabila lirik dan susunan muzik lagu tersebut yang dianggap cukup indah dipilih menjadi runut bunyi drama Terima Kasih Cinta lakonan Anna Jobling, Amar Baharin dan Rita Nadira untuk siaran slot Akasia TV3.
Selepas setahun tanpa lagu baharu, Sufi bersyukur kerana masih diberi peluang dan kepercayaan untuk merakamkan single Jangan Lepas Tanganku.
“Selama setahun saya tidak mempunyai ‘buah tangan’ baharu. Terima kasih kepada Alternate Records dan Global Keynote kerana percaya dengan bakat saya.
“Lebih membanggakan apabila lagu ini turut menjadi runut bunyi untuk drama dalam televisyen,” katanya.
Batu loncatan
Ujar penyanyi berusia 31 tahun itu lagi, dia menyifatkan kolaborasinya bersama Ammar berjalan dengan sangat mudah kerana masing-masing mempunyai idea dan kreativiti tersendiri.
“Kerjasama yang terjalin antara kami sangat mudah kerana masing-masing berkongsi kreativiti dan idea untuk menjadikan lagu Jangan Lepas Tanganku menjadi lebih baik.
“Saya berharap peminat dapat menerima lagu terbaharu saya ini dengan baik. Lagu ini saya jadikan sebagai hadiah untuk semua,” katanya.
Kehadirannya dengan lagu baharu dianggap Sufi yang pernah menggondol trofi Artis Baharu Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular 2016 sebagai batu loncatan buatnya bagi kembali mewarnai industri muzik tanah air.
Sementara itu Ammar yang bertindak selaku komposer berkata, Jangan Lepas Tanganku disifatkan sebagai sebuah karya yang mempunyai emosi bercampur.
Katanya, lagu tersebut didedikasikan sepenuhnya untuk isteri dan anak perempuan kesayangannya.
“Idea menghasilkan lagu ini timbul sekitar tahun 2019 lagi. Sewaktu itu saya sedang dihimpit kesusahan.
“Isteri saya pula pada waktu itu sedang sarat mengandung dan tidak bekerja. Demi keluarga tersayang terutamanya anak yang bakal dilahirkan, saya menjadi penyanyi busker di tepi jalan,” cerita Ammar.
Bagi menambah pendapatan menyara keluarga, Ammar memberitahu dia juga bekerja di hotel sehingga lewat malam pada setiap hari untuk mencari rezeki buat isteri dan anaknya.
“Alhamdulillah, segala rintangan dihadapi dengan penuh kecekalan untuk dua insan yang saya sayangi ini.
“Mereka adalah segala-galanya untuk saya. Harapan saya supaya lagu ini dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia,” katanya.
Lagu Jangan Lepas Tanganku boleh didengari dalam semua platform digital, manakala video muzik (MV) pula boleh ditonton menerusi saluran YouTube Alternate Records & Talents.