MELBOURNE – Presiden Akuatik Dunia, Husain Al-Musallam berkata, sekatan terhadap atlet Rusia dan Belarus kekal dilaksanakan ketika Persekutuan Renang Ukraine menggesa agar atlet dari kedua-dua negara itu dihalang untuk mengambil bahagian sehingga tamatnya perang.
Al-Musallam menjelaskan perkara tersebut menerusi Kongres Agung Luar Biasa Akuatik Dunia di Melbourne kelmarin.
Tegas Al-Musallam, keputusan sama ada atlet Rusia dan Belarus dibenarkan kembali ke pertandingan antarabangsa akan dibuat oleh ‘seluruh keluarga Olimpik’ tetapi tidak pada masa ini.
Kenyataan tersebut dibuat tiga hari selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dilihat bersedia untuk mengkaji cadangan Majlis Olimpik Asia (OCA) untuk membolehkan atlet dari Rusia dan Belarus menyertai pertandingannya.
Langkah berkenaan dijangka dibincangkan dalam satu rundingan bersama IOC dengan ahli-ahlinya serta wakil atlet, Persekutuan Antarabangsa dan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan.
Atlet dari Rusia dan Belarus telah dilarang daripada semua acara yang dikendalikan oleh Akuatik Dunia, yang dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) sehingga akhir 2022.
Keputusan itu dibuat berikutan tindak balas kepada pencerobohan Moscow dengan mencetuskan peperangan di Ukraine hingga menyebabkan bencana dan kematian.
Al-Musallam berkata, sekatan Akuatik Dunia terhadap Rusia dan Belarus akan diteruskan buat masa ini.
“Tiada keputusan berhubung penyertaan atlet Rusia buat masa ini.
“Terdapat kajian mengikut resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa sukan harus neutral dan mesti ditadbir oleh ahli sukan.
“Dari segi penyertaan atlet Rusia dan Belarus untuk Sukan Olimpik akan datang, seluruh keluarga Olimpik akan membuat keputusan mengenainya,” kata Al-Musallam. – AGENSI