KOTA TINGGI – Sepasang suami isteri di Jalan Balau, Taman Desaru Utama (TDU) di sini yang baru berpindah seminggu di taman perumahan berkenaan hanya menyedari berlaku banjir selepas dikejutkan jiran mereka.
Farahain Jefri, 25, berkata, ketika kejadian dia bersama suami Mohd. Akram Zaki Yahya, 32 dan bayi mereka Iffat Hayyan berusia empat bulan sedang tidur dan tidak menyangka rumah mereka akan terlibat dengan banjir.
“Kira-kira pukul 5.30 pagi jiran datang ketuk pintu memaklumkan air sudah naik. Selepas itu kami terus keluar ambil apa yang sempat sahaja baju beberapa helai dan juga dokumen penting.
“Masa itu air di dalam rumah sudah paras buku lali manakala di luar sudah paras betis. Bomba mendukung bayi kami dan bawa kami ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Muafakat TDU.
“Kami memang tidak buat apa-apa persediaan untuk banjir. Bahkan penat kemas barang berpindah ke sini pun masih belum habis lagi sambung pula dengan kejadian banjir ini,” katanya.
Sementara itu bagi Nazrul Noh, 33, pula berkata, kediamannya mula dinaiki air kira-kira pukul 6 pagi sebelum segera mengalihkan keretanya ke tempat selamat.
“Memang hujan lebat malam tadi, kira-kira pukul 5 pagi saya tengok air belum naik lagi lepas itu sempat sambung terus tidur kira-kira pukul 6 ketika isteri kejut bangun subuh dan dia memaklumkan ada orang jerit suruh kemas barang.
“Sebaik buka sahaja pintu air terus masuk ke rumah naik ke kawasan dapur. Banjir lepas pada 2019 hujan tidak macam ini, hujan berterusan sehari dua tetapi air naik berperingkat tidak mengejut macam malam tadi.
“Tetapi pagi tadi air terus datang sekali harung macam kepala air sekali datang terus penuh. Surut pun ambil masa sejam ke dua dua jam,” katanya yang tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang. – KOSMO! ONLINE