PETALING JAYA – Viatris Malaysia (Viatris) dan Persatuan Perubahan Malaysia (MMA)menganjurkan kempen saringan kesihatan percuma khusus kepada rakyat Malaysia berusia 40 tahun sebagai langkah awal untuk mengesan faktor risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kadar kolesterol tinggi.
Bertemakan Saring, Kesan dan Bertindak, kempen yang akan berakhir pada bulan Februari tahun depan itu mahu membantu menyokong sasaran Kementerian Kesihatan untuk menyaring sebanyak 1.5 juta orang berusia 40 tahun di negara ini.
Pengurus Negara Viatris Malaysia, Jeff Bote berkata, saringan kesihatan NCD yang kerap adalah satu langkah yang proaktif dan penting dalam pengurusan kesihatan diri kerana ia dapat membantu individu mengenal pasti isu-isu yang tersembunyi dan mencegah komplikasi perubatan dengan mendapatkan rawatan lebih awal.
“Intervensi yang berkesan dan tepat pada masanya akan dapat memberikan perubahan yang ketara terhadap kesihatan individu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, program rintis untuk kempen Saring, Kesan dan Bertindak itu dilancarkan di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.
Pihaknya menyasarkan untuk membantu 1,000 individu berusia 40 tahun dan ke atas serta golongan yang mempunyai risiko kesihatan yang lebih tinggi.
Selain itu, Presiden MMA, Dr. Muruga Raj Rajathurai menjelaskan, sebilangan besar rakyat di negara ini yang mempunyai tekanan darah, gula dalam darah dan kolesterol tinggi tidak mengetahui status kesihatan mereka.
Ini kerana mereka tidak berjumpa doktor untuk pemeriksaan kesihatan bagi mendapatkan diagnosis.
“Kami menggesa mereka yang berusia 40 tahun ke atas yang belum menjalani sebarang pemeriksaan atau saringan kesihatan untuk mengambil peluang ini.
“Pengesanan awal dan rawatan tepat pada masanya berpotensi untuk mengurangkan risiko komplikasi anda dan memberikan hasil yang lebih baik. Saringan kesihatan mampu menyelamatkan nyawa,” tegas beliau.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi menunjukkan seorang dalam lima dewasa atau 3.9 juta individu berusia 18 tahun dan ke atas di negara ini menghidap diabetes, tiga dalam 10 dewasa atau 6.4 juta orang mengalami tekanan darah tinggi dan empat daripada 10 dewasa mempunyai kadar kolesterol tinggi.
Seramai 1.7 juta rakyat kini hidup dengan tiga faktor risiko utama iaitu diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi yang merupakan faktor risiko utama penyakit kardiovaskular iaitu penyebab utama kematian di negara ini. -KOSMO! ONLINE