fbpx

Saluran parit kecil, hujan lebat punca banjir luar biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FIZWAN ketika menyantuni penghuni di PPS Dewan Muafakat Taman Desaru Utama, Bandar Penawar, Kota Tinggi yang terlibat dengan banjir ekoran hujan lebat berterusan malam tadi.

KOTA TINGGI – Saiz saluran parit yang kecil dipercayai menjadi punca berlakunya limpahan air dari Sungai Cemaran sehingga menyebabkan banjir di kawasan perumahan di Jalan Balau, Taman Desaru Utama (TDU), Bandar Penawar di sini hari ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Fizwan Mohd. Rashidi berkata, keadaan hujan lebat selama lima jam tanpa henti juga menyebabkan kawasan rumah penduduk terutama yang terletak berhampiran sungai berkenaan dinaiki air.

Katanya, banjir yang berlaku juga disifatkan agak teruk dimana kejadian sama pernah berlaku pada 2019 namun ketika itu tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka.

“Berdasarkan pemerhatian dan lawatan dilakukan bersama Pegawai Daerah, Datuk Paduka Hazlina Jalil bersama ADUN Penawar bersama agensi-agensi terlibat kita lihat bahawa memang keadaan banjir kali ini luar biasa.

“Tempat ini Jalan Balau, TDU bukan ‘hotspot’ banjir dan tidak sangka berlaku kejadian banjir. Mungkin kerana hujan lebat ditambah pula mungkin air pasang, air di Sungai Cemaran naik dan juga air dari sungai Taman Sri Penawar yang melalui TDU, jadi air parit penuh dan menyebabkan berlaku limpahan di kawasan itu.

“Mungkin ada beberapa faktor dari pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan MPP kita lihat di outlet (saliran) keadaan bottle neck sedikit. Ada dua tempat daripada parit itu menuju ke saliran di Sungai Cemaran ada dua outlet kalvat yang mungkin kecil,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan lawatan di PPS Dewan Muafakat TDU, hari ini.

Fizwan berkata, keadaan itu memerlukan tindakan jangka masa pendek dan panjang termasuklah sama ada perlu membesarkan kalvat yang ada agar air dapat mengalir dengan lebih baik.

Menurutya, pihak JPS juga memaklumkan kerja pembersihan dan juga mendalamkan saliran di Sungai Cemaran telah dilakukan kali terakhir pada awal tahun lalu.

Katanya, sebanyak 30 keluarga di taman berkenaan telah berdaftar di PPS berkenaan dimana terdapat sebahagiannya yang masih tidak berpindah dan mengambil keputusan menunggu di rumah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI