fbpx

Remaja dipercayai alami halusinasi lari masuk hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norhisham yang dipercayai hilang selepas melarikan diri masuk ke dalam hutan di Kampung Temalir, Kuala Krai semalam. FOTO IHSAN KELUARGA

KUALA KRAI – Seorang remaja yang dipercayai berada dalam keadaan berhalusinasi hilang semasa keluar ke sebuah kedai bersama rakannya di Kampung Temalir di sini petang semalam.

Norhisham Saifuddin, 18, dipercayai melarikan diri masuk ke kawasan hutan selepas melihat sebuah kereta yang dipandu bapa saudaranya di kedai tersebut kira-kira pukul 4.30 petang.

Ibu saudaranya, Mas Anizan Mat Ghani, 29, berkata, Norhisham mengalami halusinasi sehingga meracau-racau semasa dia bercuti di Kuala Lumpur selama tiga hari sebelum suaminya membawa remaja pulang ke kampung pada Khamis minggu lalu.

Menurutnya, dia dipercayai mengalami gangguan tersebut ketika berada di ibu negara ketika bersama rakannya.

“Selepas mengetahui masalah yang dialami Norhisham, suami saya yang bekerja di Kuala Lumpur terus membawanya pulang ke kampung.

“Semasa berada di rumah keluarga di kampung, dia dilihat sering bercakap seorang diri dan sering meracau,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Mas Anizan, anak saudaranya itu meminta kebenaran untuk ke kedai berdekatan rumah dengan ditemani rakannya yang berusia lingkungan 20-an petang semalam.

Katanya, selepas itu, suaminya keluar ke kedai tersebut dengan memandu sebuah kereta untuk mengambil Norhisham dan bercadang membawa remaja tersebut mendapatkan rawatan.

“Menyedari kereta suami saya menghampirinya, dia terkejut sebelum terus melarikan diri ke kawasan hutan. Saya dan ahli keluarga lain telah mencarinya di kawasan tersebut, namun usaha kami gagal.

“Anggota keselamatan kini sedang menjalankan operasi mencari Norhisham yang sudah lebih 24 jam hilang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob mengesahkan pihaknya membantu operasi mencari remaja tersebut selepas menerima maklumat awal berhubung kes itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI