BAGI menghadapi cabaran masa depan, banyak pihak mula memberi perhatian kepada konsep ekonomi kitaran dan ekonomi hijau.
Kerajaan Malaysia juga tidak ketinggalan dalam pengukuhan ekosistem ekonomi kitaran yang akan disepadukan dengan pembangunan ekonomi hijau dan rendah karbon.
Konsep ini dianggap paling sesuai bagi mendepani cabaran revolusi industri 4.0, sekali gus memacu transformasi ekonomi negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-15.
Selepas menghadapi pandemik Covid-19, rantaian pengeluaran industri di seluruh dunia sedang menjalani transformasi serta proses meningkatkan penyesuaian kepada teknologi digital.
Penggunaan swasta menjadi lemah secara mendadak dan memerlukan pelarasan terhadap rantaian bekalan.
Pengeluaran industri juga perlu menjalani transformasi dengan penekanan kepada analisis risiko dan unjuran permintaan produk akhir yang lebih realistik dalam kalangan pengguna.
Ekonomi kitaran didefinasikan oleh Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) iaitu satu badan yang bertanggung jawab mengenai perubahan iklim sebagai sistem penjanaan semula.
Ia bermaksud sumber, sisa, pelepasan dan kebocoran diminimumkan dengan memperlahankan, menutup serta mengecilkan kitaran bahan tenaga.
Ini boleh dicapai melalui reka bentuk tahan lama, penyelenggaraan, pembaikan, penggunaan semula, pembuatan semula, pembaikan dan kitar semula.
Pelaksanaan ekonomi kitaran akan menggalakkan amalan perniagaan yang mampan di Malaysia sambil mengelakkan perubahan iklim drastik dan berbahaya.
Keadaan ekonomi tidak menentu banyak dipengaruhi oleh persekitaran alam semula jadi.
Situasi ini telah menuntut para pemain industri dan kerajaan untuk memperkukuhkan persekitaran perniagaan di Malaysia.
Pelbagai pendekatan digunakan dalam pelaksanaannya, baik di peringkat kerajaan, swasta mahupun badan sukarela, termasuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Ekonomi kitaran merupakan model perindustrian baharu yang memberi fokus kepada pengurangan, penggunaan semula dan kitar semula.
Konsep ini mampu membantu mengurangkan sumber utama dan pengeluaran sisa.
Untuk pelaksanaan sistem ekonomi berkenaan, pihak kerajaan memerlukan kerjasama daripada dunia perniagaan.
Pemilik perniagaan perlu menyedari kepentingan tanggungjawab lestari terhadap kelestarian masyarakat dan alam sekitar.
Ekonomi hijau pula merupakan satu kerangka yang bertujuan untuk memastikan ekonomi sesebuah negara berkembang dan pada masa memberi fokus kepada perlindungan alam sekitar.
Secara khusus, kerangka ekonomi hijau bertujuan mengubah sistem sesebuah negara ke arah pengurangan kesan rumah hijau sambil mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi.
Terdapat tiga teras utama dalam kerangka ekonomi hijau iaitu peralihan kepada bahan api bukan fosil, mengoptimumkan kecekapan guna tenaga dalam industri dan mengurangkan perubahan iklim.
Objektif utama pelaksanaan ekonomi tersebut termasuk meningkatkan kesedaran tentang keperluan mendesak untuk beralih daripada bahan api bukan fosil dalam sistem tenaga.
Negara juga perlu mengoptimumkan penggunaan kecekapan tenaga yang membawa kepada sistem penyahkarbonan tenaga dan memperkukuhkan dasar pengurusan perubahan iklim domestik.
Jika dibandingkan tujuan ekonomi kitaran dan ekonomi hijau, ia mempunyai persamaan dari segi tujuan.
Kedua-dua kerangka ekonomi itu bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kesaksamaan sosial,
Di samping itu, ia dapat mengurangkan risiko kerosakan alam sekitar yang ketara pada sesebuah negara. Cuma kedua-dua sistem ekonomi ini menggunakan kaedah pelaksanaan berbeza.
Kedua-dua sistem ekonomi ini bukan sahaja dilihat menjadi keperluan di Malaysia, tetapi sesuai dengan tuntutan pengguna global.
Masyarakat dunia mula sedar dan bimbang tentang krisis bumi dan iklim yang menyebabkan mereka semakin menuntut produk serta model perniagaan mesra alam.
Setakat ini, kempen-kempen hanya ditujukan kepada golongan pengguna yang digesa menyusun, mengumpul dan membuang sisa di tempat sepatutnya.
Kita lupa bahawa bahan buangan juga datang daripada para pengeluar terutamanya sisa industri atau sisa penggunaan perusahaan.
Dalam ekonomi kitaran, terdapat kewajipan bagi pengeluar untuk menguruskan sisa mereka dari peringkat awal.
Ia perlu dilakukan ketika pihak pengeluar mereka membentuk proses pengeluaran atau mereka bentuk barangan yang akan dikeluarkan.
Jika pengeluar telah membentuknya dari awal, maka industri dapat memilih bahan mentah atau pembungkusan yang tidak akan menghasilkan sisa.
Andai terdapat sisa pengeluaran, pihak industri perlu bertanggungjawab untuk mengumpul semula bahan buangan plastik atau sisa daripada pengeluaran itu.
Langkah ini bagi memastikan proses pengeluaran lebih mesra alam, sekali gus menjamin kelestarian alam sekitar.