fbpx

Piala Dunia: Regragui mahu pemain terus ‘bermimpi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REGRAGUI menjadi individu yang bertanggungjawab menukar wajar Maghribi menjadi pasukan yang disegani ketika ini. – AFP

DOHA – Ketua Jurulatih Maghribi, Walid Regragui mahu para pemainnya terus berangan dan dilamun ‘mimpi’ dalam usaha mereka melengkapkan satu lagi sejarah ke pentas perlawanan akhir selepas melalui perjalanan penuh fantasi pada Piala Dunia Qatar 2022 kali ini.

Selain menjadi pasukan dari Afrika pertama yang mara ke suku akhir, Maghribi juga kini memegang status sebagai ‘pemusnah gergasi’ apabila Sepanyo, Belgium dan terbaharu, Portugal terpaksa pulang dengan penuh kecewa apabila tumbang berdepan mereka.

“Apa yang penting buat kami adalah masa depan generasi baharu bola sepak di negara dan benua kami yang semakin percaya bahawa pasukan dari Afrika dan Arab juga mampu mara ke separuh akhir atau perlawanan akhir.

“Tiga atau empat perlawanan lalu, saya ditanya adakah kami mampu untuk memenangi Piala Dunia. Saya jawab, kenapa tidak? Kami mahu terus bermimpi ke­rana mimpi telah membawa kami ke tahap ini.

“Banyak negara di Eropah te­lah memenangi Piala Dunia, jadi kami juga mahu mencuba untuk mendapatkannya dan melakukan perkara yang tidak ramai orang mampu mempercayainya,” katanya.

Maghribi berjaya mengekalkan aksi tanpa kalah di peringkat kumpulan dan hanya bolos sekali, membolehkan mereka mara ke pusingan 16 pasukan terbaik selaku juara kumpulan buat kali pertama sejak 36 tahun lalu.

Kejayaan melangkah ke separuh akhir menyaksikan mereka bakal berdepan Perancis awal pagi esok yang pastinya mampu memberi cabaran getir dalam memastikan impian mereka menjadi kenyataan.

“Pesanan saya kepada pemain dalam setiap perlawanan adalah supaya mereka percaya diri dan yakin. Keluar ke padang dan berikan segala-galanya kerana tidak ada apa yang perlu dikesalkan apapun jua keputusannya.

“Sudah pasti ia suatu yang hebat untuk beraksi bersama tiga lagi pasukan hebat di peringkat ini. Kami mempunyai pemain berstatus elit dan kami mempunyai kelompok pemain yang mampu memenangi perlawanan di Piala Dunia.

“Kadang-kadang ada perkara yang terlalu diada-adakan, tetapi pemain percaya bahawa mereka mampu untuk memberikan persembahan pada tahap ini,” jelasnya.

Penjaga gol Maghribi, Yas­sine Bounou turut mendedahkan bahawa Regragui adalah individu yang bertanggungjawab membuang rasa takut dan gentar dalam diri semua pemain skuad The Atlas Lions.

“Kami berada di sini untuk menukar mentaliti. Kami perlu buang rasa takut. Generasi kami selepas ini akan tahu bahawa pemain Maghribi mampu mencipta magis,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI