AL KHOR – Pemain pertahanan Perancis, Jules Kounde menegaskan, mereka sudah bersedia berdepan pasukan yang sedang mencipta sensasi, Maghribi menjelang aksi separuh akhir Piala Dunia 2022 awal pagi esok.
Bek kanan Barcelona itu percaya Les Bleus tetap perlu berhati-hati dan tidak memandang rendah kemampuan Maghribi supaya tidak menjadi pasukan seterusnya diaibkan oleh lawan tersebut di Stadium Al Bayt nanti.
Kounde, 24, merasakan, The Atlas Lions tidak akan bermain bertahan, sebaliknya mengamalkan taktikal menyerang seperti dilakukan ketika mencipta kejutan menewaskan Portugal 1-0 di suku akhir.
“Mereka bermain secara kompak dan menutup setiap ruang menyebabkan pemain lawan tiada masa untuk berfikir ketika memegang penguasaan bola. Anda perlu pantas dan cepat melepaskan bola.
“Bagaimanapun, mereka juga boleh melakukan serangan berbahaya dan pada masa sama bertahan dengan baik. Ia bermakna mereka bukanlah pasukan yang bertahan sahaja,” katanya.
Kounde bakal menggalas tugas penting kerana perlu menghalang serangan balas pantas Maghribi yang kebiasaannya bermula di bahagian tepi sebelah kiri melalui Yahia Attiyat-Allah dan Selim Amallah.
Sementara itu, bek tengah Perancis, Raphael Varane menyifatkan, Antoine Griezmann mampu membawa perbezaan utama disebabkan tumpuan pastinya lebih terarah kepada penyerang sensasi, Kylian Mbappe.
Bintang Manchester United itu merasakan benteng pertahanan Maghribi akan lebih mengawasi pergerakan Mbappe yang ketika ini mendahului carta penjaring terbanyak dengan lima gol.
“Dia (Griezmann) tahu waktu yang tepat untuk menghantar bola ke kawasan bahaya. Pengalaman dan kemahiran teknikal permainannya amat penting buat kami di sini.
“Saya melihat dia berada pada tahap keyakinan paling tinggi. Saya percaya dia akan memainkan watak penting buat kami dalam perlawanan itu nanti,” jelasnya.– AGENSI