fbpx

Piala Dunia: Maghribi terbayang ke pentas final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAGHRIBI ketika ini mendapat sokongan padu daripada benua Arab dan Afrika apabila menjadi wakil tunggal mereka yang berjaya mara ke separuh akhir. – AFP

DOHA – Tonggak pertahanan Maghribi, Yahya Attiat-Allah menyeru agar barisan pemain memberi tumpuan sepenuhnya pada aksi separuh akhir Piala Dunia menentang Perancis awal pagi esok untuk terus mengharumkan nama bangsa Arab dan benua Afrika.

Sebagai rekod, Maghribi yang menduduki ranking ke-22 dunia itu telah mencipta sejarah tersendiri dengan menjadi bangsa Arab dan wakil benua Afrika pertama yang berjaya melayakkan diri ke kelompok empat pa­sukan terbaik.

Malah, kisah fantasi Maghribi itu mendapat liputan meluas antarabangsa susulan kejayaan mereka di atas padang selepas menewaskan beberapa negara gergasi seperti Belgium di pe­ringkat kumpulan, Sepanyol (pusingan 16 terbaik) dan Portugal (suku akhir).

Kata Attiat-Allah, semangat kekeluargaan yang jitu dalam kalangan pasukan menjadi salah satu faktor barisan pemain mampu melakukan perkara di luar jangkaan selain perancangan taktikal yang begitu ampuh direncanakan oleh ketua jurulatih, Walid Regragui.

“Syukur kepada Tuhan kerana memberikan kejayaan buat kami, tetapi perjuangan serta apa yang kami lalui kali ini hasil daripada doa seluruh bangsa Arab, rakyat benua Afrika dan penduduk Maghribi sendiri.

“Secara jujur, siapa boleh sangka perjalanan kami pada kempen Piala Dunia boleh sejauh ini. Namun, berkat semangat yang jitu dalam kalangan pemain, kami mampu melakukannya dan saya percaya situasi yang sama akan dipamerkan pada pentas separuh akhir nanti.

“Jika ada individu yang layak dipuji, sudah tentulah ia wajar diberikan kepada jurulatih, Regragui yang bekerja keras mengatur strategi untuk menyingkirkan negara-negara pilihan. Kami selesa beraksi di bawah kendaliannya dan bersedia tampil sepenuh tenaga di atas padang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri Maghribi, Aziz Akhannouch turut meluahkan rasa bangga dengan apa yang dipamerkan oleh The Atlas Lions sepanjang berada di bumi Qatar sejak bulan lalu.

“Saya tabik dengan prestasi yang dipamerkan oleh skuad kebangsaan pada Piala Dunia kali ini kerana mereka telah memberikan kegembiraan buat jutaan rakyat kami. Saya harap pasukan boleh terus mengukir sejarah mara sejauh mungkin,” katanya.

Persatuan Bola Sepak Diraja Maghribi (FRMF) menerima habuan besar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) de­ngan wang tunai sebanyak AS$17 juta (RM74.5 juta) selepas mereka mara ke peringkat suku akhir sebelum ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI