fbpx

Piala Dunia: Deschamps enggan fikir kontrak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DESCHAMPS (tengah) mahu memberikan fokus terhadap pertemuan menentang Mahghribi ketika kontraknya bersama Perancis berbaki 19 hari lagi. - AFP

DOHA – Kegagalan Perancis pada saingan Euro 2020 lalu apabila tersingkir di pusingan 16 pasukan terbaik menyebabkan nasib Didier Deschamps sebagai pengendali pasukan itu berada dalam keadaan goyah, malah wujudnya keraguan mengenai nasib pasukan itu pada kempen Piala Dunia 2022 di Qatar kali ini.

Bagaimanapun, Deschamps yang dikenali sebagai ‘Little Ge­neral’ tidak mahu terlalu dibuai permainan psikologi berkenaan, setelah tekanan yang diterima­nya cukup tinggi apabila nama Zinedine Zidane dicanang sebagai bakal penggantinya.

Tiba di Qatar dengan status penyandang juara, Deschamps berjaya membuktikan sentuhannya masih relevan apabila membantu Perancis muncul juara kumpulan sekali gus memadam badi tiga juara terdahulu yang pulang awal selepas tersingkir di peringkat kumpulan.

Selepas berjaya melepasi halangan England pada pusingan suku akhir kelmarin, Deschamps perlu menyiapkan pasukannya untuk berdepan Maghribi yang dianggap sebagai ‘pembunuh gergasi’ sebelum mereka mampu untuk layak ke pentas final.

“Terdapat empat pasukan yang bertuah kerana berjaya mara ke pentas separuh akhir dan kami gembira kerana kami menjadi salah satu daripada pa­sukan itu.

“Tidak banyak pihak yang menjangkakan bahawa Maghribi mampu berada di sana, tetapi mereka hanya bolos sekali sepanjang lima aksi menuju ke perlawanan separuh akhir, jadi mereka sebenarnya layak.

“Saya lihat mereka layak untuk berada di pentas final, namun kami juga mempunyai pe­luang tersebut,” katanya.

Ketika ini, Deschamps mempunyai tempoh 19 hari sebelum kontraknya ber­akhir bersama Les Bleus, namun masih belum membuat sebarang keputusan me­ngenai masa depannya sama ada akan meninggalkan pasukan itu atau menerima tawaran baharu sekiranya diberikan.

“Situasi ketika ini berada dalam kawalan (mengenai kontrak) dan saya yang akan memutuskannya. Saya sedang fokus untuk menyiapkan pasukan di separuh akhir. Saya mahu fokus perkara yang utama.

“Presiden (Persekutuan Bola Sepak Perancis) gembira dengan apa yang dicapai ketika ini kerana kami sudah mencapai objektifnya. Fokus utama adalah menentang Maghribi, itu yang bermain dalam kepala saya ketika ini,” ujarnya.

Sepanjang 10 tahun mengemudi Perancis, Deschamps berjaya membantu pasukan itu muncul juara Liga Negara-Negara Eropah serta me­rangkul Piala Dunia 2018 selain sedang berusaha untuk membawa pasukannya mencipta sejarah menjadi pasukan pertama muncul juara dunia dua kali berturut-turut dalam tempoh 60 tahun menya­mai pencapaian Itali (1934/38) dan Brazil (1958/62).

Beliau yang sebelum ini ber­aksi dalam skuad Pe­rancis yang merangkul Piala Dunia 1998 sudah pun menyamai pencapaian Franz Beckenbauer dan Mario Zagallo menjulang piala tersebut sebagai pemain dan jurulatih. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI