IPOH – Biarpun memiliki sembilan saman yang belum dibayar, seorang pemandu treler muatan siling putih yang terlibat nahas membabitkan empat kenderaan di Kilometer 69, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Gerik pada 29 Oktober lalu masih memandu kenderaan berat.
Saman itu membabitkan empat kesalahan membawa muatan bahaya yang tidak diikat dengan kemas dan empat lagi kesalahan memandu dengan lesen kenderaan tamat tempoh serta satu saman berkaitan melanggar lampu isyarat merah.
Difahamkan, dua daripada saman yang dikenakan ke atas lelaki berusia 48 tahun itu membabitkan treler yang dipandunya dalam nahas berkenaan.
Kesemua saman itu direkodkan sejak tahun 1997 hingga April lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, suspek terbabit telah ditahan pada hari kejadian ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Batu Melintang Jeli, Kelantan.
Menurutnya, suspek kemudian dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik untuk siasatan lanjut.
“Berdasarkan siasatan, kemalangan itu berpunca daripada muatan siling yang dibawa treler terbabit telah jatuh di atas jalan ketika melalui selekoh.
“Keadaan itu menyebabkan tiga kenderaan lain dari arah bertentangan gagal mengelak lalu melanggar muatan sehingga terbabas dan terbalik ke dalam longkang. Sebuah lagi kenderaan sempat dikawal dan berhenti di bahu jalan,” katanya semalam.
Mohd. Yusri memberitahu, berdasarkan ujian saringan air kencing, suspek didapati tidak mengambil sebarang bentuk bahan terlarang.
Katanya, kertas siasatan kes berkenaan kini dikemas kini dan sedang menunggu laporan perubatan mangsa dari Hospital Tanah Merah, Kelantan.
“Kes itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat segera mengambil tindakan terhadap pemandu treler dan syarikat terlibat.
“Saya berasa amat simpati dengan keluarga mangsa kemalangan ini. Salam takziah kepada keluarga. Permit syarikat lori ini akan digantung sementara untuk audit ke atas semua lori mereka.
“Saya tidak akan berkompromi dengan pemandu dan syarikat yang membahayakan orang ramai di atas jalan raya,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook semalam.
Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, seorang wanita berusia 31 tahun yang juga penumpang kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Subaru Forester parah termasuk mengalami keguguran bayi di dalam kandungan berusia lapan bulan.
Berita berkaitan: Lelaki hilang anak, isteri parah angkara lori terlebih muatan