KUANTAN – Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini mengumumkan senarai portfolio 10 anggota Exco yang disifatkan beliau sebagai satu terjemahan ke arah memastikan kelancaran penyampaian khidmat kepada rakyat di negeri ini.
Wan Rosdy menerajui portfolio Perancangan, Kewangan, Tanah, Sumber Asli, Tenaga dan Air selain Pembangunan Ekonomi, Perladangan dan Komoditi.
Dalam pengumuman itu, anak Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga ADUN Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar menerajui portfolio Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi.
Tiga lagi muka baharu daripada Barisan Nasional iaitu ADUN Guai, Datuk Sabariah Saidan memegang portfolio Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga manakala ADUN Dong, Fadzil Mohamad Kamal menerajui portfolio Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan dan Datuk Seri Johari Harun yang juga ADUN Pelangai memegang portfolio Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau manakala
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak memegang portfolio Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan manakala ADUN Kerdau, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad menerajui portfolio Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli.
ADUN Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff pula memegang portfolio Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan manakala ADUN Muadzam Shah, Ir Razali Kassim merajui portfolio Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan.
Dua orang Exco dari Pakatan Harapan (PH) iaitu Sim Chon Siang (ADUN Teruntum) memegang portfolio Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia manakala Leong Yu Man (ADUN Triang) portfolio Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan.
Dalam pada itu Wan Rosdy berharap agar kesemua barisan Exco kerajaan negeri mengetepikan sentimen politik dan perbezaan ideologi masing-masing serta bekerjasama sebagai satu pasukan yang mantap bagi memastikan segala agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dapat terus dilaksanakan dengan cemerlang.
“Selain itu, saya mengharapkan supaya rakyat Pahang juga dapat memberi kepercayaan dan sokongan kepada kerajaan negeri yang baru dibentuk ini demi kestabilan dan kemakmuran negeri,” katanya.