ALOR SETAR – Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menjadi ‘master agent’ atau bookie perjudian bola sepak Piala Dunia 2022 secara dalam talian di sini, awal pagi ini.
Serbuan Op Soga IX kira-kira pukul 1 pagi tadi itu dilakukan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Simpang Kuala dan Jalan Tokai di Batu 7, dekat sini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, suspek berusia 30 tahun itu disyaki menjalankan kegiatan perjudian catit taruh menerusi empat laman sesawang sehingga mampu mencapai had kredit RM370,000.
“Suspek dipercayai telah menjalankan kegiatan itu sejak kira-kira dua bulan lalu dengan menyasarkan pelanggan warga tempatan.
“Segala urusan pendaftaran dan pembayaran boleh dibuat secara dalam talian dan tunai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, bagi tujuan promosi, suspek menggunakan media sosial seperti WhatsApp, Telegram dan laman web.
“Pelanggan akan berhubung terus dengan suspek atau ejen bawahan bagi urusan mendapatkan kredit serta memperoleh wang kemenangan,” ujarnya.
Tambahnya, individu berkenaan dipercayai memperoleh antara RM4,000 hingga RM5,000 sehari hasil daripada kegiatan tersebut.
“Pertaruhan diterima melalui panggilan telefon atau bersemuka dengan pelanggan.
“Dalam serbuan tersebut, beberapa barangan dirampas antaranya sebuah komputer riba dan satu telefon bimbit untuk membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953. – KOSMO! ONLINE