SELAYANG – Ikon permotoran, Haqiem Stopa didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyimpan gambar dan video lucah bekas teman wanitanya di dalam telefon bimbit.
Haqiem atau nama sebenarnya, Muhammad Sadzri Hakim Jaafar, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.
Pemuda itu didakwa menyimpan gambar dan video lucah seorang wanita berusia 21 tahun di dalam simpanan galeri telefon bimbit jenis Iphone 13 Pro Max dan Iphone 7plus miliknya.
Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Rawang di sini pukul 4.30 petang, 9 Disember lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 292(a) dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 ke atas Haqiem.
Peguam Mohd. Faiz Fahmy Abdul Razak daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon jumlah ikat jamin dikurangkan dengan alasan anak guamnya menanggung ibu dan bapa yang uzur.
“Tertuduh bekerja sebagai pencipta kandungan (content creator) mohon jumlah jaminan yang rendah,” kata peguam itu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Februari depan untuk sebutan semula kes.
Sabtu lalu, Kosmo! Online melaporkan seorang pemuda yang juga terkenal sebagai ikon permotoran ditahan kerana disyaki mengugut menyebarkan gambar lucah bekas kekasihnya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir dilaporkan berkata, suspek ditahan untuk siasatan selepas pihaknya menerima laporan dibuat mangsa. – KOSMO! ONLINE