LOS ANGELES, CALIFORNIA – Datuk Bandar Los Angeles (LA), Karen Bass berikrar menangani isu gelandangan yang berleluasa selepas mengisytiharkan masalah tersebut sebagai krisis darurat pada hari pertama beliau memegang jawatan, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Bass menandatangani pengisytiharan tergempar itu semasa sidang akhbar di mana beliau menyamakan isu ketiadaan tempat tinggal dengan bencana alam dan berjanji menggunakan kaedah bukan tradisional dalam membendungnya.
“Kadar kematian dan pelarian di tempat sendiri melibatkan gelandangan di LA mengatasi impak bencana alam, sekali pun malapetaka paling buruk seperti gempa bumi Northridge dan Taufan Harvey.
“Isu ini sudah lama tertangguh dan kami mengisytiharkannya sebagai darurat.
“Pusat Operasi Kecemasan dan strategi efektif dalam menangani isu gelandangan di LA tidak boleh diuruskan seperti bandar-bandar lain.
“Kami akan meningkatkan skala dan kepantasan mendekati kelompok gelandangan dengan meninggalkan cara tradisional,” kata Bass lagi.
Pelan baharu itu termasuk mengenal pasti bangunan milik kerajaan yang boleh digunakan sebagai perumahan gelandangan, memajak bangunan pangsapuri kosong serta motel yang tidak berpenghuni, katanya.
Menurut pengiraan terbaharu yang dilakukan oleh Pihak Berkuasa Perkhidmatan Gelandangan Los Angeles, terdapat 41,980 gelandangan di bandar raya itu, meningkat 1.7 peratus berbanding 2020.
Menurut pengisytiharan darurat Bass, bilangan gelandangan di LA adalah kira-kira 18 kali ganda lebih tinggi berbanding di Bandar Raya New York dan 14 kali ganda berbanding Chicago.
Pengisytiharan itu dibuat kurang dua bulan sebelum moratorium kecemasan Covid-19 untuk pengusiran penduduk yang tidak membayar sewa tamat pada Februari 2023.
Bass yang menewaskan ahli perniagaan, Rick Caruso dalam perlumbaan jawatan Datuk Bandar LA, melaksanakan rancangan untuk menyediakan perumahan kepada 17,000 orang gelandangan pada tahun pertamanya perkhidmatannya. –Agensi