PADAWAN – Gara-gara dituduh membuang sampah, seorang lelaki mengamuk dengan mengugut untuk membunuh suami sepupunya dengan sebilah kapak di Kampung Nyabut, Trombol Jalan Telaga Air di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, laporan diterima pihaknya daripada seorang wanita berusia 37 tahun dan kejadian amukan berkenaan dilaporkan berlaku kira-kira pukul 9.30 malam.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Padawan telah menangkap suspek berusia 31 tahun itu di rumahnya Kampung Nyabut Trombol, kira-kira pukul 6.30 petang hari ini.
“Turut dirampas sebilah kapak yang digunakan oleh suspek untuk menakutkan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abang Zainal, siasatan awal mendapati suspek telah datang ke rumah pengadu yang juga sepupunya serta mengugut membunuh suami wanita itu.
Katanya suspek turut berteriak memanggil suami pengadu yang berada dalam rumah.
“Bagaimanapun teriakan suspek tidak disahut suami pengadu kerana bimbang sesuatu berlaku.
“Punca suspek mengamuk adalah kerana tidak berpuas hati apabila dituduh membuang sampah di kawasan rumah pengadu,” jelasnya.
Beliau menambah turut berada di tempat kejadian adalah ibu dan bapa suspek, yang cuba menenangkannya.
“Semasa suspek melibas kapak, bapanya telah cuba merampas kapak dari tangannya menyebabkan warga emas berkenaan mengalami luka di bahagian tapak tangan.
“Mangsa telah mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak dan tiada kecederaan serius,” katanya.
Abang Zainal berkata, suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE