fbpx

‘Kekal jadi pempengaruh, tidak perlu ke mainstream’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Foto - M. FIRDAUS M. JOHARI

KUALA LUMPUR – Aktor sensasi Sharnaaz Ahmad mengakui enggan bergandingan dengan pelakon baharu yang tidak mempunyai bakat atau kurang berpengalaman kerana bimbang akan menjejaskan kualiti sesebuah naskhah.

Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 37, berkata, pengarah perlu bijak dalam memilih gandingan pelakon lama dan baharu supaya kelancaran serta keserasian antara mereka tidak terganggu.

“Jangan gandingkan pelakon yang sudah lama dan berpengalaman dalam industri dengan mereka yang masih ‘hijau’ kerana perkara itu akan menimbulkan masalah. Takut keserasian tidak sampai.

“Pengarah dan stesen televisyen perlu gandingkan hero dan heroin yang setaraf supaya mereka boleh sama-sama membantu untuk menghasilkan lakonan yang bagus,” ujarnya kepada Kosmo! Online.

Bapa kepada Jebat Jayden Ahmad itu juga berpendapat, stesen televisyen perlu bijak dan memikirkan keseluruhan impak untuk sesebuah naskah yang akan diterbitkan kelak.

“Apabila jurang kualiti pelakon lama dengan baharu terlalu jauh, keadaan itu akan menimbulkan pelbagai masalah dan tidak akan menjadi kerana kualiti mereka tidak setara.

“Pelakon yang sememangnya berkualiti tidak akan membantu kerana mereka berharap dan meletakkan jangkaan bahawa pelakon baharu akan memberikan kualiti yang sama dengannya.

“Masalahnya, macam mana pelakon baharu nak bagi ‘level’ yang setaraf sedangkan dia masih lagi hijau. Perkara ini perlu dititikberatkan oleh pihak stesen.

“Pada masa yang sama, reputasi pelakon lama akan terjejas kerana terpaksa ‘tonedown’ kualiti lakonan supaya tidak terlebih membayangi pelakon baharu,” ujar Sharnaaz.

Sharnaaz yang ditemui ketika majlis sidang media program realiti The Masked Singer Malaysia di sini, semalam juga tidak bersetuju apabila ada pelakon dipilih dalam kalangan pempengaruh media sosial (influencer) kerana faktor populariti.

Katanya, pempengaruh perlu sedar ruang dan peluang untuk berada di tempat mereka sendiri sekali gus memanfaatkan perkara itu sebaiknya sebelum melompat ke media aliran umum (mainstream).

“Kau bagus dalam TikTok, kau duduk dalam TikTok sahaja. Tidak perlu pergi ke ‘mainstream’ kerana itu bukan tempat atau ‘level’ kau, bukan padang dan bukan jiwa kau.

“Pastikan kau bagus dekat tempat (media sosial), orang akan sanjung kau. Tapi bila kau mula masuk tempat orang lain iaitu drama, orang akan mula menilai, boleh berlakon ke?” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI