fbpx

Harimau Malaya perlu bersikap serius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain skuad Harimau Malaya giat menjalani latihan menjelang aksi persahabatan antarabangsa menentang Maldives di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.

PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon mahu barisan pemain tampil lebih serius pada aksi pemanas badan terakhir bertemu Maldives malam ini sekiranya mahu nama mereka ‘lekat’ pada senarai akhir 23 pemain ke Piala AFF 2022.

Menurut Pan-gon, semua 27 pemain tidak termasuk Dion Cools yang akan melaporkan diri pada Jumaat ini harus memberikan 100 peratus kerana ini adalah peluang terakhir mereka buktikan keupayaan sebenar.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, kriteria paling pen­ting buat barisan kejurulatihan adalah memastikan pemain yang dipilih nanti sesuai dengan corak taktikal diterapkan ke dalam skuad kebangsaan.

“Perlawanan persahabatan ini adalah persediaan terakhir sebelum kita fokus pada aksi Piala AFF dan medan pemain membuktikan keupayaan diri dengan mempamerkan aksi terbaik jika mahu berada dalam skuad 23 pemain Harimau Malaya.

“Secara peribadi, kita fokus untuk menilai aspek taktikal sebagai keutamaan dan bukan keupayaan individu untuk berada dalam pasukan dengan senarai akhir akan diumumkan selepas tamat perlawanan nanti.

“Justeru, penting untuk mereka menyesuaikan diri dengan taktikal bagi mengharungi Piala AFF sebelum tumpuan dialihkan pada Piala Asia tahun depan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Sebagai rekod, skuad negara di ranking ke-146 dunia mendapat tonik apabila menang 4-0 pada aksi persahabatan menentang Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat lepas.

Sementara itu, pemain pertahanan negara, Ahmad Khuzaimi Piee berharap, barisan pemain memberi tumpuan penuh sepanjang 90 minit perlawanan dan tidak memandang rendah kemampuan pasukan Maldives.

“Pada saya, Maldives pasukan yang agak sukar dan siapa sahaja diberikan peluang perlu memberikan komitmen tinggi.

“Saya harap barisan pemain tidak beraksi sambil lewa kerana dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku,” katanya.

Pada saingan Piala AFF nanti, skuad negara telah diundi di dalam Kumpulan B bersama-sama Vietnam, Singapura, Myanmar dan Laos.

Skuad Harimau Malaya akan membuka tirai aksi peringkat kumpulan menentang Myanmar pada 21 Disember depan di Stadium Thuwanna YTC, Yangon.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI