fbpx

Bakal pengantin melecur, tong gas meletup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah kereta turut mengalami kerosakan akibat letupan tong gas memasak di Taman Sena Permai, Pokok Sena, Seberang Perai semalam.

SEBERANG PERAI – Seorang bakal pengantin dilaporkan me­ngalami kecederaan melecur hampir seluruh badan selepas terkena letupan tong gas petroleum cecair (LPG) di rumahnya di Taman Sena Permai, Pokok Sena di sini semalam.

Mangsa, Siti Hajar Hanis Muhamad, 26, yang juga pekerja swasta itu dikatakan bakal menamatkan zaman bujangnya de­ngan jejaka pilihan pada Januari tahun depan.

Kejadian pada pukul 8 pagi itu berlaku semasa mangsa mahu menggoreng ikan sebelum gas memasak tersebut tiba-tiba meletup sehingga memusnahkan rumah teres dua tingkat ber­kenaan.

Mangsa tinggal di kediaman itu bersama adik lelakinya yang sudah berumah tangga.

Adik mangsa, Muhammad Azib Muhamad, 25, berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur di bilik bahagian atas rumah teres dua tingkat itu.

“Saya dan isteri, Marsitah Md. Zaki, 25, sebenarnya baru sampai rumah malam tadi selepas selesai majlis perkahwinan kami di sebelah isteri di Raub, Pahang.

“Pada mulanya, kami ingat mahu singgah sebentar di Ca­meron Highland, namun dise­babkan saya perlu kembali be­kerja esok, maka kami batalkan niat dan terus balik ke sini.

“Lepas subuh tadi (semalam), saya sambung tidur, tetapi alangkah terkejutnya apabila bumbung dan siling rumah tiba-tiba menghempap badan ekoran letupan terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita.

Bumbung rumah rosak akibat letupan tong gas memasak.

Mengulas lanjut, dia berkata, tidak lama kemudian kedengaran isterinya menjerit dari tingkat bawah memaklumkan tubuh kakak iparnya disambar api.

“Kakak juga menjerit dan saya bergegas mendapatkannya, namun amat terkejut melihat kea­daannya yang teruk melecur di seluruh badan.

“Saya seolah-olah berada dalam mimpi melihat kejadian itu, apatah lagi baharu bangun tidur dan terus mendapatkan pertolongan jiran serta bomba.

“Difahamkan, kakak mahu menyediakan sarapan de­ngan menggoreng ikan yang memang menjadi rutin hariannya
sejak dia bekerja dari rumah,” katanya.

Tambahnya, dia dan kakaknya tinggal bersama di rumah yang diberikan ibu bapa mereka sejak dua tahun lalu.

“Kakak juga bakal mendirikan rumah tangga Januari depan dan syukurlah keadaannya kini dilaporkan stabil.

“Insiden ini amat memeranjatkan saya, apatah lagi rumah kami rosak teruk dengan bumbung dan siling tercabut dan tingkap pecah.

“Semua perkakas rumah termasuk perabot habis terpelan­ting keluar, malah kenderaan yang diparkir di luar rumah juga rosak kesan daripada letupan gas memasak terbabit,” katanya.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor, Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Hazam Hassan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 8.13 pagi.

“Letupan terbabit turut mengakibatkan sebuah kereta dan motosikal yang diletakkan di ruang hadapan rumah mengalami kerosakan.

“Setakat ini, punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI