SEBERANG PERAI – Bakal pengantin yang dilaporkan melecur hampir seluruh badan selepas terkena letupan tong gas petroleum cecair (LPG) di rumahnya di Taman Sena Permai, Pokok Sena di sini semalam dilaporkan beransur stabil.
Adik mangsa, Muhammad Azib Muhamad, 25, walau bagaimanapun berkata, kakaknya, Siti Hajar Hanis Muhamad, 26, masih ditidurkan susulan kecederaan yang dialaminya.
Menurutnya, Siti Hajar yang pada mulanya menerima rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB) sudah dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ).
“Sepatutnya kakak dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana di sana ada pakar kulit (dermatologi), namun setakat ini masih tiada katil kosong.
“Buat sementara waktu, rawatan diteruskan di HSJ dan pihak hospital akan maklumkan sekiranya ada tempat untuk kakak nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Azib turut mengucapkan terima kasih kepada saudara mara dan rakan-rakan yang bertanya khabar selepas mengetahui kejadian yang menimpa mereka sekeluarga.
Kejadian pada pukul 8 pagi itu berlaku semasa mangsa mahu menggoreng ikan sebelum gas memasak tersebut tiba-tiba meletup sehingga memusnahkan rumah teres dua tingkat berkenaan. – KOSMO! ONLINE