fbpx

Piala Dunia: Argentina ranap harapan Croatia ke final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Argentina menepati ramalan sebagai pasukan pilihan apabila melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan Croatia 3-0 sebentar tadi.

LUSAIL – Hanya selangkah sahaja lagi buat Argentina untuk menjulang trofi Piala Dunia 2022 apabila mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas menang 3-0 ke atas Croatia pada aksi separuh akhir di Stadium Lusail sebentar tadi.

Kemenangan itu pastinya menjadi detik paling berharga buat kapten, Lionel Messi bagi memburu gelaran sulung pada saingan Piala Dunia yang mungkin menjadi penampilan terakhirnya.

Pada perlawanan itu, Croatia tampil lebih baik di separuh masa pertama apabila menguasai permainan menerusi hantaran-hantaran pendek sementara Argentina hanya mengharapkan serangan balas pantas.

Walaupun Croatia lebih banyak memegang bola, namun sebaliknya berlaku apabila La Albiceleste terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-34 menerusi sepakan penalti Messi selepas Julian Alvarez dikasari penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic.

Menerusi gol tersebut, Messi melakar sejarah baharu apabila menjadi penjaring terbanyak Argentina dalam saingan Piala Dunia dengan 11 gol, meleburkan rekod 10 gol yang dicatat pemain legenda, Gabriel Batistuta.

Lima minit berselang, gol Croatia bocor lagi apabila serangan balas pantas yang dilakukan Argentina dimanfaatkan sebaiknya oleh Alvarez bagi meletakkan pasukan dari Amerika Selatan itu selesa mendahului 2-0.

Memasuki separuh masa kedua, Croatia meningkatkan tempo permainan dan melakukan asakan, namun tidak mampu untuk menembusi kekebalan benteng pertahanan Argentina serta penjaga gol, Emiliano Martinez.

Pada minit ke-57, Messi hampir menjadikan kedudukan 3-0, bagaimanapun gerakan 1-2 yang dilakukan bersama Alvarez tidak membuahkan hasil apabila percubaan pemain Paris Saint-Germain (PSG) itu ditepis Livakovic.

Croatia yang terdesak memburu gol pertama kelihatan makin tertekan ketika perlawanan menghampiri minit ke-70, lebih-lebih lagi skuad kendalian Zlatko Dalic itu langsung tidak melakukan sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol lawan.

Alvarez kemudiannya meledak gol kedua peribadi pada minit ke-69 bagi meletakkan Argentina 3-0 di hadapan selepas dia tenang menyepak masuk hantaran yang dilakukan Messi.

Selepas gol tersebut, Argentina kemudiannya mengendurkan asakan ke arah pintu gol Croatia dan lebih banyak bermain hantaran-hantaran pendek, sekali gus melunturkan semangat pemain-pemain pasukan lawan.

Walaupun Croatia bekerja keras untuk mencari sekurang-kurangnya satu gol saguhati, namun kekebalan benteng pertahanan Argentina sukar ditembusi dan kedudukan 3-0 kekal hingga tamat perlawanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI