fbpx

12 keluarga buntu banjir termenung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan rumah yang dilanda banjir termenung di Kampung Batu 38, Sabak Bernam.

SABAK BERNAM – Banjir termenung setinggi 0.6 meter sejak tiga hari lalu menimbulkan rasa resah kepada 12 buah keluarga di Jalan Said dan Jalan Masjid Baru, Kampung Batu 38 di sini.

Ini juga menyukarkan kehidupan harian kepada 50 mangsa tersebut yang terus menghuni kediaman berkenaan ketika ini.

Seorang penduduk, Siti Saliza Mohd. Salleh, 40, berkata dia bimbang kerana banjir bukan saja belum surut malah paras air semakin naik.

“Cuaca kini masih tidak menentu dan dikhuatiri bertambah buruk sekiranya sering kali hujan.

“Air melimpah masuk ke dapur dan ruang tamu rumah saya pukul 8.30 malam kelmarin. Sehingga kini, kediaman masih digenangi air,” katanya ketika ditemui di lokasi itu, hari ini.

Menurutnya, penduduk kini buntu kerana turut menanggung kerugian ribuan ringgit akibat tidak sempat menyelamatkan barangan berharga.

Bagi Kasmawati Muslimin, 53, banjir berkenaan paling buruk melanda kawasan itu selepas kali ketiga berlaku tahun ini.

Seorang lagi penduduk, Atisah Saiman, 61, menjelaskan kejadian banjir termenung itu kerap berlaku sejak dua tahun lalu dan dipercayai ekoran sistem saliran tidak diselenggara dengan baik sehingga gagal disalurkan ke parit utama.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan diminta menyalurkan peruntukan segera bagi menangani kejadian sama daripada terus berulang.

“Banjir itu turut menjejaskan tanaman kebun penduduk sekaligus menyebabkan mereka hilang punca pendapatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI