QUITO, Ecuador – Seorang wanita dari Ecuador terkejut apabila dia melahirkan anak di dalam tandas sebuah pesawat kerana tidak menyedari dirinya telah hamil, lapor akhbar Daily Star semalam.
Tamara telah melakukan perjalanan ke Madrid, Sepanyol dengan menaiki penerbangan syarikat KLM Belanda yang perlu melakukan transit di lapangan terbang Schiphol, Amsterdam.
Ketika kejadian, dia pergi ke tandas kerana mengalami sakit perut hanya beberapa jam sebelum pesawat itu tiba di lapangan terbang tersebut.
Tamara bernasib baik kerana terdapat dua doktor dan seorang jururawat di dalam penerbangan itu datang untuk membantunya.
Syarikat penerbangan mempunyai polisi ketat yang melarang wanita sarat daripada terbang kerana risiko dan bahaya untuk bersalin di udara.
Dia sangat berterima kasih atas bantuan mereka sehingga menamakan anaknya, Maximiliano sempena nama salah seorang doktor dalam penerbangan itu.
Sebaik sahaja mereka mendarat di Belanda dengan selamat, Tamara dan bayinya dibawa dengan ambulans ke hospital Spaarne Gasthuis Haarlem South yang terletak di barat Amsterdam.
Jurucakap syarikat penerbangan mengesahkan bahawa ibu dan bayi itu berada dalam keadaan baik.
Mereka kini menunggu kertas kerja rasmi untuk bayi itu disiapkan sebelum boleh meneruskan perjalanan ke Madrid. – Agensi