KEHANGATAN Piala Dunia 2022 di Qatar sudah hampir sampai ke kemuncaknya apabila empat pasukan berjaya mengesahkan slot ke pusingan separuh akhir.
Perlawanan akhir kejohanan setiap empat tahun itu dijangka berlangsung 18 Disember ini.
Selepas ini, tumpuan peminat sukan akan beralih kepada satu lagi kejohanan Piala Dunia pada 13 hingga 29 Januari 2023 di India. Kejohanan dimaksudkan adalah Piala Dunia Hoki lelaki yang turut melibatkan pasukan negara bersaing dengan 15 lagi pasukan terbaik.
Ia merupakan penampilan kali kesembilan Malaysian Tigers di pentas tertinggi itu dengan pencapaian terbaik di tempat keempat pada Piala Dunia 1975.
Pada kejohanan kali ini, skuad negara diletakkan dalam Kumpulan C bersama pasukan gergasi, Belanda di ranking ketiga dunia, New Zealand (9) dan Chile (22).
Pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Dr. Shaharudin Abdul Aziz berkata, pasukan negara mampu membuat kejutan pada kejohanan tersebut.
Menurutnya, skuad negara boleh lolos ke peringkat seterusnya andai dapat mengejutkan pasukan yang berada di ranking lebih tinggi iaitu Belanda dan New Zealand.
“Saya rasa skuad negara yang berada di ranking ke-11 boleh membuat kejutan terhadap salah satu pasukan berkenaan. Syaratnya, kita kena menang dengan Chile untuk lolos ke peringkat seterusnya.
“Saya rasa moral pemain negara berada pada tahap terbaik selepas berjaya menjuarai Piala Sultan Azlan Shah buat julung kalinya baru-baru ini,” katanya.
Shaharudin memberitahu, kombinasi pemain muda dan berpengalaman dijangka menjadi ramuan ampuh dalam memastikan pasukan negara mampu mencapai kejayaan.
Ujarnya, skuad negara juga perlu mempunyai semangat kental dan berani berjuang untuk menang seperti yang dilakukan pasukan bola sepak Maghribi pada Piala Dunia Qatar.
“Dalam sukan tiada istilah mustahil. Peluang setiap pasukan yang bertanding adalah sama. Jika kena gayanya, skuad negara boleh menewaskan sesiapa sahaja termasuk pasukan gergasi.
“Ini dibuktikan pasukan Maghribi apabila berjaya menewaskan dua gergasi bola sepak iaitu Sepanyol dan Portugal untuk melangkah ke pusingan separuh akhir,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Pasukan Hoki Lelaki Negara, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, sasaran realistik skuad negara pada Piala Dunia kali ini adalah berada dalam kelompok lapan terbaik.
“Jika pada Piala Dunia nanti kita mampu perbaiki ranking dunia, ia satu pencapaian cukup besar. Kami menyasarkan untuk mendaki ke tempat keenam dan keempat dunia,” katanya.
Menurutnya, skuad negara bakal menghadapi kesukaran apabila berdepan dengan pasukan-pasukan dari benua Eropah (Belanda) dan Oceania (New Zealand) pada Piala Dunia kali ini.
Jelas Mirnawan, pasukan dari kedua-dua benua itu telah bermain hoki di atas padang tiruan sejak sekian lama, sedangkan pemain dari Asia termasuk Malaysia sebelum ini bermain di atas padang rumput.
“Ketika sukan hoki dimainkan di atas padang rumput, Pakistan dan India merupakan pasukan gergasi dunia. Namun selepas itu, kedua-dua pasukan berkenaan juga bergelut.
“Hanya India sahaja yang berada dalam kelompok lima terbaik dunia apabila mereka mengambil keputusan melakukan perubahan bermain di atas padang tiruan kira-kira 10 tahun lalu,” ujarnya.