Pertunjukan fesyen (fashion show) kini memainkan peranan yang penting dalam industri fesyen global.
Ia memberikan label atau jenama fesyen peluang luas untuk menyampaikan konsep, identiti dan visi koleksi rekaan untuk musim akan datang.
Pertunjukan fesyen juga adalah antara mekanisme jualan serta penjenamaan koleksi rekaan yang sangat efektif dan relevan dalam era globalisasi yang berubah-ubah.
Pertunjukan fesyen adalah salah satu medium istimewa di mana pereka berpeluang untuk mempamerkan rekaan terbaharu mereka.
Walaupun konsep pertunjukan fesyen berubah secara radikal sejak beberapa dekad ini, namun tujuannya masih sama iaitu untuk mendapatkan reaksi serta perasaan ingin tahu khalayak terhadap koleksi rekaan terbaharu pereka, seterusnya menjana emosi ingin memiliki koleksi pakaian tersebut.
Pertunjukan fesyen adalah acara di mana pereka fesyen mempersembahkan koleksi terbaharu rekaan mereka seperti di minggu-minggu fesyen tahunan, acara fesyen berprestij dan persendirian.
Antara acara utama dalam kalendar fesyen antarabangsa adalah koleksi yang dipersembahkan untuk musim Bunga/ Panas (Spring/Summer) dan Luruh/ Sejuk (Autumn/ Winter). Antara minggu fesyen global yang paling berpengaruh adalah minggu fesyen yang diadakan di Paris, Perancis; New York, Amerika Syarikat; London, Britain dan Milan, Itali.
Dalam pertunjukan fesyen yang biasa diadakan, peragawati atau peragawan akan menggayakan pakaian pereka fesyen di atas pentas peragaan. Koleksi rekaan di atas pentas akan dibantu oleh penataan cahaya untuk lebih menyerlah.
Susun atur keluar masuk model di atas pentas selalunya ditentukan mengikut keutamaan statement atau mesej yang ingin disampaikan pereka mengenai koleksi terbaharu.
Terpulang kepada penonton untuk cuba memahami dan menghargai setiap satu koleksi tersebut mengikut interpretasi masing-masing.
-Elemen kontemporari
Ada pereka berani bereksperimentasi serta menyuntik elemen kontemporari yang lebih segar dengan menggabungkan kemajuan teknologi dalam pertunjukan fesyen mereka.
Perkembangan teknologi yang progresif seperti konsep live streaming online juga memberi peluang lebih besar bagi pengikut-pengikut industri fesyen untuk menonton dan menikmati pertunjukan fesyen dengan lebih mudah secara langsung di mana-mana saja.
Kini, pertunjukan fesyen selalunya juga dirakam atau difilemkan untuk tujuan promosi dan dokumentari serta ditayangkan di rangkaian televisyen atau di layar lebar.
-Perancangan
Jangka masa perancangan untuk mengadakan pertunjukan fesyen bergantung kepada skala dan bajet pertunjukan itu sendiri.
Pakar-pakar yang terlibat dengan pengurusan acara tersebut akan mengambil kira segala aspek produksi seperti set, penataan lampu, pentas, model serta pelbagai lagi.
Jika dilakukan dengan betul, pertunjukan fesyen dapat menyampaikan ekspresi visi musim terbaharu koleksi sesuatu jenama dengan jelas, menarik, penuh inspirasi serta memukau perhatian.
-Bajet
Jika dahulu bajet produksi agak sederhana, tetapi kini banyak jenama antarabangsa yang mampu bermewah dengan kos atau tenaga produksi besar serta set pertunjukan seperti untuk penghasilan filem.
Stesen kereta api, wad hospital, lapangan terbang, dewan bankuet atau apa jua ruang boleh diubah suai sebagai pentas fesyen artistik dan fantasi ekspresi pereka.
Semua mekanisme ini dapat membantu untuk memberikan lebih gambaran terhadap konsep atau ‘design statement’ koleksi pereka dan jenama kepada khalayak, khususnya mereka yang berpengaruh dalam industri fesyen seperti wakil media, pembeli fesyen, penganalisis trend dan juga kepada mereka yang menyebarkan trend terbaharu di dalam fesyen arus perdana.
Namun begitu perlu diakui, tahap produksi fesyen skala besar hanya sesuai untuk jenama haute couture, ready-to-wear dan juga independent label yang miliki sumber kewangan kukuh atau menerima sumbangan tajaan komersial.
-Skala
Skala pertunjukan yang kecil selalunya diadakan di hotel, gedung beli-belah, butik dan galeri.
Walaupun kurang formal ia tetap untuk tujuan yang sama – iaitu untuk memperkenalkan koleksi baharu serta menerangkan khususnya kepada pengikut setia label serta bakal pembeli tentang bagaimana penggayaan trend paling terkini termasuk aksesori, tata rias wajah (make-up), warna dan fabrik.
-Penanda aras
Antara pertunjukan fesyen global yang menjadi penanda aras terbaik hingga ke hari ini adalah pertunjukan yang diilhamkan oleh Alexander McQueen dan John Galliano untuk Christian Dior dan Karl Lagerfeld untuk Chanel yang diadakan sempena Minggu Fesyen Paris.
Pertunjukan fesyen koleksi pereka-pereka hebat ini cukup menakjubkan dan penuh imaginasi dengan konsep yang di luar jangkaan hingga menjadi inspirasi ramai.