KUALA SELANGOR – Kejadian dua beradik yang cedera selepas permainan dikenali ‘Sotong Ride’ yang tercabut di tapak ‘fun fair’ di Puncak Perdana di sini disifatkan sebagai satu igauan buruk.
Apatah lagi, saksi kejadian tersebut adalah beradik mereka sendiri yang melihatkan Shah Faraz Aiefan Zulkiffle, 11, dan Noraziera, 31, meraung kesakitan selepas tercampak keluar daripada permainan berkenaan.
Menceritakan detik kejadian, Nurazliyana, 17, berkata, dia bersama seorang lagi adiknya, Nurazriyanie, 15, turut menaiki ‘Sotong Ride’ tersebut di dalam sebuah gerabak lain.
Manakala Shah Faraz Aiefan dan kakak sulung mereka iaitu Noraziera berada di gerabak hadapan kami.
“Namun, selepas tiga kali pusingan, kami terkejut apabila besi keselamatan itu dipercayai tercabut hingga menyebabkan mereka tercampak keluar.
“Saya dengar secara jelas suara adik-beradik saya menjerit kesakitan susulan kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kuching, Jeram di sini, hari ini.
Tambah Nurazliyana, dia segera bergegas mencari dua beradiknya itu sejurus selepas permainan itu dihentikan dengan menyifatkan kejadian malang itu berlaku dengan pantas.
Jelas remaja itu, Shah Faraz Aiefan dan Noraziera kemudiannya dihantar ke ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
Sementara itu, Nurazriyanie memberitahu, mereka sememangnya telah lama berhasrat ke pesta ria itu namun tertangguh kerana faktor hujan.
“Saya tidak sangka insiden malang sebaliknya berlaku dan menjadi igauan paling buruk dalam hidup.
“Namun, saya bersyukur tiada kecederaan lebih teruk dialami mereka,” katanya. -KOSMO!ONLINE