fbpx

Rapatkan jurang ekonomi bandar, luar bandar fokus Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid

PETALING JAYA – Jurang ekonomi antara masyarakat bandar dan luar bandar antara fokus utama yang akan diselesaikan segera Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di bawah pimpinan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ujar Timbalan Perdana Menteri itu, beliau akan menggembleng tenaga dan kudrat kementerian serta agensi-agensinya untuk bersama-sama menyelesaikan segala isu berkaitan desa sepantas yang mungkin.

Menurutnya, sesuatu yang drastik dan radikal perlu dilakukan bermula sekarang jika tidak mahu kawasan luar bandar terus ketinggalan.

Ini kerana kata beliau, berdasarkan data terkini pada 2019, pendapatan penengah isi rumah luar bandar adalah RM 3,828 berbanding RM6,561 bagi kawasan bandar.

“Secara perbandingan mudah, bagi setiap RM100 yang diraih penduduk di bandar, penduduk luar bandar hanya mampu meraih sebanyak RM58.

“Tahun 2019 juga merekodkan kadar kemiskinan yang tinggi di kawasan luar bandar sebanyak 12.4 peratus berbanding kadar kemiskinan keseluruhan Malaysia iaitu 5.6 peratus,” katanya di laman Facebook hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kesenjangan ini terus melebar tahun demi tahun kerana meminggirkan penduduk luar bandar daripada kebejatan ekonomi negara yang didorong kemajuan bandar.

“Data ini tidak mengambil kira tahun 2020 ke atas yang mana kita tahu kesan ekonomi disebabkan wabak Covid-19 jauh lebih membarah. Ini adalah sesuatu yang semakin kritikal dan tidak boleh dibiarkan tenat, “ujarnya.

Justeru kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, beliau akan akan mengemukakan pelan tindakan dan Indeks Prestasi Utama (KPI) kementerian dalam masa terdekat.

“Insha-Allah, jika kita bersama-sama bersatu hati dan beriltizam, kita akan dapat memakmurkan kembali luar bandar Malaysia, “katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI