fbpx

PPS diaktifkan lebih awal bersedia hadapi banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bilangan 3 Tahun 2022 di Perdana Putra di sini, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengaktifkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) lebih awal di seluruh negara sebagai persiapan berdepan banjir yang dijangka bermula akhir minggu ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, fokus utama pastinya kepada kawasan yang dijangkakan mengalami jumlah taburan hujan tinggi yang akan menyebabkan berlakunya banjir.

Beliau berkata, acuan baharu persiapan itu berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) iaitu sebelum berlaku banjir di kawasan berkenaan.

“Ini adalah langkah baharu. Ia bagi mengelakkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda atau kehilangan dokumen penting.

“METMalaysia memaklumkan ada tiga kawasan utama yang bakal mengalami taburan hujan tinggi iaitu kawasan Timur Semenanjung Kelantan dan Terengganu), pantai Timur Sabah dan pantai Barat Sarawak,”katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JBPB) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, beliau sudah mengarahkan agar agensi pusat melayani sama rata kerajaan negeri pembangkang terutama dalam soal pengurusan banjir.

Ujar beliau, soal kesaksamaan dan keadilan mesti dilakukan tanpa mengira negeri itu diperintah oleh pihak mana kerana ia bertujuan menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya menyelesaikan masalah politik.

“Ini bukan pendekatan baru kerana saya biasa lakukan ketika saya mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa ini pada pimpinan kerajaan dahulu.

“Pada hemat saya, pendekatan ini turut dipegang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga mahu ia dilakukan demi rakyat, kesaksamaan dan keadilan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat hari ini turut membincangkan penyelesaian jangka masa panjang dalam menangani isu banjir termasuk penyediaan tebatan banjir secara holistik.

Katanya, biarpun ia akan membabitkan kos yang besar namun, apabila siap kelak ia bakal membabitkan persediaan pengurusan banjir sepanjang tempoh sehingga 2100.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI