DOHA – Semangat Croatia ketika berjuang menuntut kemerdekaan bakal menjadi sumber inspirasi buat negara itu untuk hadapi cabaran getir menentang Argentina pada aksi separuh akhir di Stadium Lusail, awal pagi esok.
Ketua pasukan, Luka Modric merasakan ia menjadi detik mendebarkan untuk mengelak kekalahan dan pemain berusia 37 tahun itu berasakan semangat perjuangan yang ada pada warga Croatia ketika memperoleh kemerdekaan kira-kira 20 tahun lalu akan meresap dalam setiap pemain pasukan kali ini.
“Tiada siapa percaya yang Croatia mampu mara ke separuh akhir, namun kami sudah melakukannya. Pasukan ini dibarisi pemain yang begitu terdesak untuk menyarung jersi Croatia dan mahu menunjukkan kredibiliti Croatia kepada dunia.
“Kami semua didorong untuk berjuang demi negara dan juga jersi yang kami pakai. Sebagai sebuah negara, kami sudah pun berjuang untuk dapatkan kemerdekaan dan sekarang kami akan teruskannya hingga keringat terakhir,” katanya.
Modric pernah menjadi pelarian ketika peperangan yang tercetus semasa Croatia menuntut kebebasan dan kemerdekaan daripada Republik Yugoslavia pada 1991.
Malah, Piala Dunia kali ini genap 31 tahun Modric kehilangan datuknya dan kematian itu belum mendapat pengadilan sewajarnya sehingga sekarang.
Pada edisi empat tahun lalu, Modric telah dianugerahkan Bola Emas sebagai pemain terbaik kejohanan dan kemenangan ke atas Argentina kali ini akan menjadi pencapaian luar biasa buat Croatia selepas berdepan penentuan penalti ketika dua aksi terdahulu menentang Jepun dan Brazil.
“Bagi saya, dia adalah salah seorang daripada lima pemain terbaik dunia. Tiada seorang pun yang mampu beraksi seperti ini ketika berusia 37 tahun.
“Dia sudah tunjukkan betapa pentingnya khidmat beliau kepada Croatia dan Real Madrid. Paling penting, dia mampu menyerlahkan pengalaman, keyakinan dan cukup tenang ketika mengawal bola,” kata pertahanan Croatia, Borna Sosa. – AGENSI