fbpx

Pesona mewah sentuhan dua pereka baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pakaian rekaan Arunsayful turut digayakan selebriti

BUSANA gaya mewah yang menampilkan perincian seperti sulaman dan jahitan manik berkilau mempunyai pesonanya yang tersendiri.

Busana jenis ini lazimnya dilihat menjadi pilihan untuk digayakan pada acara-acara tertentu bagi menjadikan pemakainya tampil lebih menonjol.

Justeru, tidak hairanlah apabila dua pereka baharu tanah air memilih untuk mencipta nama dalam persada fesyen tempatan, dengan mempertaruhkan rekaan mewah dan berciri ‘high fashion’.

Biarpun masih baharu dalam dunia fesyen, gandingan dua pereka muda yang cukup berbakat, Arun Mateen, 27 dan juga Mohd. Saiful Izham Ahmad, 35, menerusi jenama Arunsayfull mampu membuatkan busana rekaan mereka mendapat perhatian ramai, termasuk golongan selebriti.

Jika sebelum ini, Arunsayfull banyak menghasilkan rekaan busana pengantin dan adibusana (haute couture), mereka baru-baru ini mengorak langkah dengan mula memperkenalkan busana jenis ready-to-wear (RTW).

Biarpun menyedari hakikat bahawa sudah ramai pereka lain yang turut memperkenalkan rekaan RTW dalam koleksi fesyen mereka, Arunsayfull bagaimanapun yakin dengan penerimaan orang ramai, memandangkan rekaannya mempunyai cita rasa mewah dan lain daripada yang lain.

“Kami menampilkan rekaan RTW dengan perincian dan jahitan yang berkualiti serta kemas,” ujar Arun.

Nama Arunsayfull dikenali menerusi penghasilan busana dengan potongan dan material mewah, selain perincian seperti sulaman dan manik yang menyerlah estetika jenama tersebut.

Ujar Arun, penyertaan pertama mereka di pentas Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) baru-baru ini merupakan platform terbaik bagi mengembangkan jenama dan mengetengahkan koleksi RTW mereka.

Gandingan Arun (tengah) dan Mohd. Saiful (kanan) banyak menerapkan ciri ‘high fashion’ pada rekaan mereka.

“Kami sudah lama mengimpikan untuk menyertai acara tahunan itu dan peluang keemasan tersebut amat dinanti-nantikan memandangkan di situ kami dapat menonjolkan identiti sebenar Arunsayfull,” katanya.

Di pentas itu, Arunsayfull mempertaruhkan 13 jenis busana ‘high fashion’ yang diberikan sentuhan istimewa dua pereka berbakat itu.

Mengetengahkan bunga orkid sebagai inspirasi, rekaan Arunsayfull menampilkan dimensi berbeza pada bunga orkid, yang dihasilkan khusus buat individu yang gemar berfesyen.

Penggunaan fabrik berkilau dengan pemilihan rona elegan seperti hitam dan juga rona-rona bold seperti biru terang dan merah jambu fuschia menjadikan koleksi itu tampak eksklusif, sesuai buat wanita yang gemarkan gaya mewah dan ‘mahal’.

Selain itu, kedua-dua jejaka ini juga mengakui kekuatan rekaan Arunsayfull terletak pada teknik pemotongan dan seni jahitan jenama itu.

Boleh dikatakan, kedua-dua mereka cukup mahir dalam teknik tersebut, menjadikan mereka yakin dengan penerimaan orang ramai terhadap koleksi RTW pertama itu.

Menjadikan pereka terkenal, Datuk Bernard Chandran sebagai rujukan dan idola, Arun dan Mohd. Saiful mengakui mereka amat mengagumi ideologi dan pemikiran figura tersohor itu yang mereka pakaian dengan teknik terbaik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI