POH – Segelintir peniaga di negeri ini didapati memilih untuk menyorok minyak peket 1 kilogram (kg) di kaunter pembayaran dan menjualnya kepada pelanggan terpilih.
Tinjauan Kosmo! di sekitar bandar Ipoh mendapati, tindakan itu dilakukan bagi memastikan ia tidak dibolot oleh segelintir pengguna yang memilih untuk menggunakan minyak masak peket bersubsidi tersebut.
Seorang peniaga dikenali sebagai Royahu berkata, disebabkan terdapat pengguna bersifat tamak dan membolot minyak masak peket, dia terpaksa menyorok bahan masakan itu di kaunter.
“Pengguna yang mahu membelinya perlu meminta juruwang bertugas dan barulah mereka boleh melakukan pembelian.
“Itu pun bergantung kepada berapa jumlah minyak masak peket yang mereka mahukan. Biasanya kami akan catu jumlah jualan minyak masak peket iaitu satu sahaja bagi setiap pelanggan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Seorang lagi peniaga, Mohd. Hisham Mohd. Zin, 43, berkata, kedai runcitnya sudah berbulan-bulan kehabisan minyak masak peket 1kg.
Katanya, pembekal hanya memaklumkannya bahawa bekalan minyak masak peket adalah terhad dan tidak dapat diberikan kepadanya.
“Sudah lama tak jual (minyak masak peket). Saya pun tak tahu bila akan menerimanya kerana tiada khabar berita daripada pembekal setakat ini,” katanya.
Situasi sama turut dihadapi peniaga, Nur Shahida Rosli, 38, yang berkata, terdapat segelintir pembekal memberikan minyak masak peket 1kg kepada peniaga-peniaga tertentu.
“Saya pun berasa hairan kerana ada kedai yang masih menjual minyak masak peket.
“Sama ada banyak atau sedikit, tetapi hakikatnya ia masih dijual kepada pelanggan.
“Cuma kuantitinya tidak banyak seperti dahulu. Permintaan terhadap minyak masak peket memang tinggi, tetapi saya tak dapat menyediakannya kepada pengguna,” ujarnya.