PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) komited memodenkan Grid Nasional agar terus menjamin keselamatan bekalan yang stabil dan berdaya harap demi pembangunan selain memenuhi keperluan peralihan tenaga negara.
Pemodenan infrastruktur Grid dan Rangkaian Pembahagian TNB tahun demi tahun itu turut menjamin produktiviti, kecekapan dan daya harap rangkaian bekalan elektrik untuk dinikmati rakyat, sekali gus merangsang kegiatan ekonomi.
Justeru, TNB komited untuk melabur besar-besaran dalam memodenkan Grid Nasional menjadi grid pintar yang konsisten dan fleksibel bagi menerima suntikan Tenaga Boleh Baharu (TBB) agar berupaya menyokong aliran tenaga dua arah dan mengekalkan kestabilan voltan.
Pelaburan tersebut membolehkan Grid Masa Depan menjadi pemboleh utama peralihan tenaga, dengan menghubungkan seluruh rantaian nilai perkhidmatannya daripada penjanaan kepada penghantaran dan pembahagian sehinggalah ke premis pelanggan.
Sebelum ini, TNB sudah membangunkan ekosistem tenaga serba lengkap berpaksikan manfaat kepada kehidupan manusia, memenuhi peranannya sebagai Penggerak Kemajuan Negara, sepanjang lebih tujuh dekad.
Ekosistem itu dibangunkan mengikut acuan keperluan dan kepentingan negara serta persekitaran semasa geo politik, sejajar penggunaan teknologi dan gaya hidup supaya terus relevan dalam perubahan landskap industri tenaga.
Sejak 73 tahun lalu, TNB telah berkembang dengan matang serta mencatat sumbangan besar kepada pembangunan negara selain memastikan bekalan tenaga elektrik negara adalah setanding dengan mana-mana benua.
Dalam Minit Sistem Penghantaran (transmission) yang mengukur minit gangguan akibat transmisi bagi setiap tahun, TNB berjaya mencatat penurunan kepada 0.08 minit, sekali gus 13 tahun berturut-turut di bawah paras dua minit.
Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) pula menurun secara konsisten di bawah paras 60 minit sejak 2014 sehingga mencapai 45.25 minit. SAIDI adalah kaedah industri tenaga global mengukur masa yang dialami pengguna setiap kali bekalan terputus dalam tempoh setahun.
Pemodenan grid dengan ciri-ciri pintar ini memudahkan kerja pengesanan dan pemulihan di samping pengalaman, kemahiran dan kecekapan pasukan teknikal TNB membolehkan bekalan dipulihkan secara berperingkat dengan secepat mungkin. -KOSMO! ONLINE