KOTA BHARU – Seorang pegawai Jabatan Penerangan maut selepas motosikal yang ditunggang merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) yang membelok secara tiba-tiba memasuki lorong di jambatan Pok Nik Lah, Kemumin di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 7.50 pagi itu, mangsa, Fadli Muhamad, 47, yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Bachok maut di lokasi kejadian akibat parah pada muka dan kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal ‘scrambler’ Husqvarna TE 3001 sedang dalam perjalanan dari arah Panchor di sini ke Bachok melalui jambatan Pok Nik Lah.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah MPV jenis Perodua Alza yang dipandu seorang wanita berusia 50 tahun dari arah bertentangan secara tiba-tiba membelok ke kanan jalan untuk memasuki lorong kecil.
“Insiden itu menyebabkan mangsa tidak dapat mengelak sebelum merempuh pintu belakang MPV tersebut.
“Kepala Fadli dipercayai terhentak pada cermin pintu MPV itu sehingga mengakibatkan mangsa parah pada muka dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Rosdi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini untuk dibedah siasat.
Siasatan lanjut mendapati nahas dipercayai berpunca akibat kecuaian pemandu MPV. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE