PETALING JAYA – NIMS Adeliciousz Sdn. Bhd. (NIMS Adeliciousz), pengeluar produk makanan ringan berjenama NIMS, mengunjurkan pertumbuhan jualan pada tahun hadapan sebanyak 30 peratus dipacu oleh pengenalan produk baharu daripada hasil inovasi syarikat untuk menghasilkan produk makanan yang lazat dan memenuhi selera pengguna.
Pengasas syarikat, Tengku Norhanim Tengku Othman berkata, peningkatan pertumbuhan jualan itu bakal disumbangkan oleh perancangan syarikat yang telah berjaya menembusi negara jiran di Indonesia tahun depan.
Lebih menarik, syarikat yang berusia lima tahun itu bakal membuka cawangan kilang di
negara berkenaan bagi merealisasikan pelan pengembangannya itu.
Ini adalah langkah permulaan syarikat untuk meluaskan pasaran produk makanan daripada segmen happy food yang mana kumpulan sasarannya adalah 18 tahun hingga lebih 25 tahun ke pasaran antarabangsa.
“Jualan pada tahun ini adalah kira-kira satu juta balang, jumlah ini lebih rendah berbanding tahun 2021 yang mana jualan yang direkodkan adalah kira-kira tiga juta balang.
“Produk keluaran syarikat dihasilkan daripada tiga buah kilang kami yang terletak di Meru, Klang,” katanya pada majlis pelancaran produk terbaharu, NIMS Crispy Choco Tub Strawberry di sebuah pusat persidangan di sini baru-baru ini.
Tengku Norhanim menjelaskan, syarikat kini menawarkan tujuh perisa produk dan yang terbaharu, NIMS Crispy Choco Tub Strawberry yang dihasilkan daripada coklat strawberi dan bijirin yang berwarna merah jambu dengan berbentuk bintang.
Inovatif produk makanan itu adalah antara yang pertama diperkenalkan di pasaran tempatan,” katanya. KOSMO! ONLINE