PETALING JAYA – Mercedes Benz Malaysia (MBM) melancarkan model kereta sedan elektrik terbaru EQE 350+ dijual pada harga bermula RM 419,888.
Menurut Presiden MBM, Sagree Sardien, model elektrik yang dilancarkan itu hampir sama dengan model EQS yang dilancarkan sebelum ini.
Katanya, dari segi reka bentuk model Mercedes EQE itu mirip dengan Mercedes EQS tetapi EQE mempunyai jarak roda yang lebih pendek berbanding EQS.
“Mercedes EQE dengan bateri litihium-ion yang bertenaga sebanyak 90.56 kWh yang membolehkan kereta ini mampu mencapai jarak pemanduan maksimum sejauh 669 kilometer.
“Kuasa yang dihasilkan motor elektrik kereta ini sebanyak 215 kWh (292hp) dan tork tertinggi sebanyak 565 Nm,” katanya dalam kenyataan ketika majlis pelancaran di 1 Utama di sini hari ini.
Tambahnya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MBM, kereta elektrik itu mampu memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (kmj) dalam masa 6.4 saat.
“Kelajuan maksimum Mercedes Benz EQE350+ ini ialah 210 kmj. Masa pengecasan yang diperlukan untuk mengecas kereta ini dari 10 peratus hingga 80 peratus hanya mengambil masa 32 minit dengan menggunakan pengecasan DC (170 kWh).
“Manakala jika menggunakan pengecasan AC(11 kWh), dari jumlah 10 peratus hingga 100 peratus menggambil masa 8 jam 15 minit,” tambahnya.
Sistem keselamatan yang hadir untuk Mercedes EQE 350+ ini seperti, Driving Assistance Plus Package, Active Distance Assist DISTRONIC, Extended automatic Re-start in traffic jams, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, Evasive manoeuvre support, Mercedes-Benz emergency call system dan banyak lagi. – KOSMO! ONLINE