fbpx

Lelaki dikhuatiri lemas, terjun sungai elak diberkas polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi dua lelaki yang dipercayai terjun ke Sungai Kedah bagi mengelak diberkas polis di Taman Limau Manis, Alor Mengkudu, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam Sungai Kedah ketika cuba melarikan diri daripada polis di Taman Limau Manis, Jalan Alor Mengkudu, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, lelaki berusia 45 tahun itu merupakan salah seorang daripada tiga tokan dadah yang cuba diberkas di lokasi berkenaan.

Katanya, pihak polis tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari tadi setelah menerima maklumat mengenai penghantaran dadah di lokasi tersebut dari Pendang, dekat sini.

“Sebaik menyedari kehadiran polis, tiga lelaki yang menaiki kereta Proton Wira berwarna putih cuba melarikan diri. Seorang daripada mereka berusia lingkungan 20-an berjaya diberkas manakala dua lagi terjun ke sungai.

“Suspek berusia 30-an yang terjun ke sungai sempat berenang ke seberang untuk meloloskan diri, bagaimanapun seorang lagi individu berusia 45 tahun dikhuatiri lemas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Bertugas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Mohd. Firdaus Daud memaklumkan, pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1.07 tengah hari tadi.

Menurutnya, seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja terlibat dalam operasi mencari lelaki terbabit.

“Operasi akan turut melibatkan aktiviti selaman oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Jitra,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI