fbpx

Kilang pintar, hijau Ajinomoto di Bandar Enstek Halal Hub

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abe (kanan) pada majlis perasmian kilang baharu AMB baru-baru ini.

PETALING JAYA – Ajinomoto (M) Berhad (AMB) telah mem­buka kilang mesra alam baharunya yang seluas 18.4 hektar di Bandar Enstek Halal Hub, Negeri Sembilan sempena sambutan ­ulang tahun syarikat yang ke-60 di Malaysia.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tomoharu Abe berkata, kilang baharu yang berpindah dari Jalan Kuchai Lama ke Bandar Enstek itu me­rupakan kilang pintar dan bangunan hijau yang diperakui.

Menurutnya, teknologi canggih yang mengoptimumkan operasi melalui automasi dan pengdigitalan telah diperbadankan untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti.

“Kilang baharu itu telah direka untuk menyediakan suasana yang kondusif dan mesra kerja bagi para pekerja, dilengkapi dengan fasiliti rekreasi.

“Selain itu, kilang tersebut juga menggalakkan penglibatan pelanggan dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis pelancaran kilang baharu itu yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir baru-­baru ini.

AMB telah memulakan ope­rasi perniagaannya bagi pengeda­ran perencah umami Ajinomoto yang diimport di Kuala Lumpur pada 1961 dan merupakan an­tara syarikat Jepun pertama yang ditubuhkan di Malaysia.

Syarikat tersebut telah memulakan pengeluaran perencah umami Ajinomoto yang disahkan halal secara tempatan.

Rangkaian produk pengguna semasa syarikat selain perencah umami Ajinomoto adalah penambah rasa Tumix, Rasa SifuTM, Aji-Shio, perencah khusus menu Seri Aji, aminoVital, Pal Sweet selain rangkaian produk perindustrian terdiri daripada Tencho dan Activa.

Abe berkata, matlamat AMB adalah untuk menjadi Pusat Pengeluaran Halal dan Bahan Khas Sedunia bagi memenuhi permintaan untuk perencah makanan dan produk halal yang kian meningkat di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Tambah beliau, premis kilang baharu itu kini merangkumi 60 peratus daripada 18.4 hektar dan mempunyai ruang untuk pembangunan masa hadapan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI