KUALA SELANGOR – Keluarga dua beradik yang cedera terjatuh daripada permainan di ‘fun fair’ Bandar Puncak Alam di sini, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengusaha pesta ria itu.
Insiden malang itu mengakibatkan mangsa iaitu Shah Faraz Aiefan Zulkiffle, 11, cedera di muka dan kaki manakala kakaknya, Noraziera, 31, terhentak di kepalanya.
Ibu mangsa, Faizah Mat Sam, 52, berkata pihaknya amat kesal dengan kejadian itu yang dianggap sebagai kecuaian pihak penganjur.
“Perkara ini melibatkan soal keselamatan dan nyawa yang dikhuatiri bakal menimpa orang lain pada masa depan.
“Justeru, kami bersetuju untuk mengambil tindakan sewajarnya sebagai pengajaran dan pembelaan kepada dua anak saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kuching, Jeram di sini, hari ini.
Jelas suri rumah itu, pihaknya sudah membuat dua laporan polis di Balai Polis Jeram dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor bagi tindakan lanjut.
“Kedua-dua mangsa yang juga anak sulung dan bongsu saya itu masih menerima rawatan di Hospital Shah Alam.
“Mereka bagaimanapun dilaporkan stabil dan akan dibenarkan pulang pada bila-bila masa,” ujarnya .
Kata Faizah, dia sememangnya berasa tidak sedap hati ketika empat anaknya mahu pergi ke pesta ria itu, kira-kira pukul 7 petang semalam.
“Saya ketika itu hanya sempat berpesan supaya menjaga Shah Faraz dengan baik.
“Kerisauan saya itu ternyata benar apabila dikejutkan dengan panggilan telefon seorang anak perempuan mengenai kejadian itu pukul 9 malam,” katanya.
Tambah ibu kepada tujuh anak itu, dia bagaimanapun bersyukur dua mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan berharap dapat segera pulang ke pangkuan keluarga.
Kosmo! Online terdahulu melaporkan suasana di sebuah pesta ria atau ‘fun fair’ di Bandar Puncak Alam di sini, gempar apabila tiga individu termasuk kanak-kanak cedera selepas terjatuh daripada satu permainan, malam tadi.
Hasil pemeriksaan Majlis Perbandaran Kuala Selangor mendapati pengusaha tapak ‘fun fair’ itu beroperasi tanpa lesen. -KOSMO!ONLINE