SEPANG – Meskipun berjaya digempur Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Ulat pada Mac lalu, kegiatan haram dikenali sebagai ulat jaket kini dikesan kembali aktif.
Perkara itu diakui Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim yang berkata, pihaknya membuat pemantauan dan menunggu masa sesuai untuk membuat tangkapan.
Katanya, penguat kuasa JPJ Selangor pernah melakukan Ops Ulat dari 8 hingga 15 Mac lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dan menahan 14 pemandu.
“Suspek dikenali sebagai ulat jaket kerana berperwatakan menarik serta berpakaian jaket kemas.
“Mereka menyasarkan pelancong dari Asia Barat yang diketahui mampu berbelanja mewah dan bercuti di pelbagai lokasi menarik selama lebih seminggu.
“Berbanding ‘ulat’ biasa yang caj mahal sedikit daripada teksi sah atau e-hailing ada permit untuk cuma satu destinasi, mereka pula dikesan meraih keuntungan puluhan ribu ringgit,” katanya.
Mengulas lanjut, Zailani berkata, agensi itu sedang giat melakukan risikan untuk menjejaki ulat jaket terbabit.
“Mereka tahu kita ada buat pemantauan rapi selain bijak apabila ‘senyap’ seketika sepanjang Ops Ulat dari 4 Disember lalu sehingga semalam di KLIA dan KLIA2.
“Bagaimanapun berdasarkan intipan, ulat jaket sering menggunakan kereta saiz besar atau van mini berjenama mewah yang boleh memuatkan ramai penumpang dan bagasi, malah ada juga yang dikesan sanggup menyewa kenderaan mewah kerana tahu boleh meraih untung lebih 100 peratus,” katanya.
Zailani bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ulat jaket itu mungkin mendapat maklumat awal daripada agensi pelancongan tertentu yang membocorkan maklumat ketibaan mangsa di Malaysia.
Jelas Zailani, ia termasuk tempoh mangsa itu mahu bercuti di negara ini, destinasi ingin dituju dan pakej ditawarkan agar si pemangsa tersebut dapat bersiap sedia awal.
Justeru, beliau memberi amaran agar ulat tersebut menghentikan kegiatan itu yang bukan sahaja tiada perlindungan insurans kepada penumpang, malah menjejaskan imej negara.
“Setakat ini memang tiada kes nahas maut tetapi bayangkan jika berlaku, pelancong luar akan pandang buruk pada Malaysia yang kononnya tiada kawal selia teksi dan e-hailing sah,” katanya.-KOSMO! ONLINE